Parti Bersatu.
Bersatu menegaskan pendirian untuk kekal dalam Dewan Rakyat dan mengambil bahagian dalam perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), sambil menyelar tindakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang memilih untuk keluar dewan ketika isu itu dibahaskan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap Setiausaha PN Selangor, Afif Bahardin berkata, pendirian Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin bersama Radzi Jidin mencerminkan komitmen parti terhadap amanah jutaan pendeposit Tabung Haji.
“Saya berbangga dengan pendirian Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin bersama Radzi Jidin, yang memilih untuk kekal berada di dalam Dewan dan mengambil bahagian dalam perbahasan RCI Tabung Haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Bersatu memilih untuk berdepan dengan isu berkenaan melalui perbahasan dan tuntutan terhadap kebenaran, bukannya meninggalkan Dewan ketika amanah umat Islam sedang dipersoalkan.
“Apabila amanah jutaan umat Islam dipersoalkan, kita tidak lari. Kita kekal, kita berbahas dan kita tuntut kebenaran,” katanya.
Afif pada masa sama melahirkan kekesalan terhadap tindakan sebahagian Ahli Parlimen PN yang memilih untuk melakukan ‘walk out’ ketika keputusan mengenai pembentangan laporan RCI itu dibuat.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Hamzah Zainudin yang ketika itu berada dalam Kabinet serta Takiyuddin Hassan yang pernah memegang tanggungjawab berkaitan hal ehwal undang-undang dan Parlimen.
“Jika dahulu bersetuju RCI diperlukan untuk mencari kebenaran, mengapa hari ini meninggalkan Dewan ketika hasil siasatannya mahu dibahaskan?” soalnya.
Kontroversi berhubung RCI Tabung Haji tercetus selepas laporan suruhanjaya itu dibentangkan dan dibawa untuk perbahasan di Dewan Rakyat, dengan isu pengurusan serta keputusan pelaburan terdahulu menjadi antara perkara yang mendapat perhatian.
Afif berkata, Bersatu mengambil pendirian jelas jika terdapat unsur ketirisan, salah guna kuasa, siasat dan ambil tindakan tanpa mengira parti atau kedudukan individu.
“Tabung Haji bukan milik mana-mana parti. Ia adalah amanah umat Islam,” katanya.
Beliau turut menggesa politik Melayu-Islam bergerak ke hadapan dengan mengutamakan integriti, keberanian dan tanggungjawab, bukan sekadar bergantung kepada slogan atau sentimen.
“Mereka yang memilih untuk ‘walk out’ pula perlu menjawab kepada umat mengapa mereka meninggalkan Dewan ketika amanah umat sedang dipertahankan,” katanya.
CEO TH dalam lembaga 1MDB ketika beli tanah TRX, Parlimen diberitahu kerugian RM145.3 juta
Keluar Dewan: Pembangkang PN tak peduli amanah pendeposit Tabung Haji?
Anwar saman Tuan Ibrahim berhubung kenyataan fitnah
Bendera tanpa bulan bintang, Akmal mahu penjelasan MBKT
Bersatu kena cari jalan kuasai semula PN: Puad
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan