Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu
Parti Wawasan di bawah pimpinan Hamzah Zainudin didakwa semakin menguasai kepemimpinan Perikatan Nasional (PN), termasuk mempengaruhi keputusan gabungan itu.
Naib Presiden Parti Bersatu, Ahmad Faizal Azumu berkata, keadaan itu dapat dilihat menerusi pendirian PN yang didakwa tidak konsisten dalam menentukan kedudukan Bersatu dalam gabungan berkenaan.
Menurutnya, pendirian PN berubah-ubah apabila ada pihak menyatakan keahlian Bersatu gugur secara automatik, sebelum kepemimpinan gabungan itu menegaskan parti berkenaan masih menjadi anggota PN.
“Pimpinan PN sekarang ini suka cakap berdolak-dalik. Sekejap cakap keahlian kita tergugur secara automatik, sekejap kata kita masih anggota PN tetapi tidak boleh menghadiri mesyuarat.
“Macam persidangan Parlimenlah, ada perkara penting yang patut dibahaskan, mereka keluar pula dari Dewan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Kontroversi mengenai kedudukan Bersatu dalam PN tercetus susulan kenyataan bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin mengenai hasrat menyertai gabungan lain.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebelum ini mendakwa keahlian Bersatu dalam PN gugur secara automatik susulan pendirian berkenaan.
Bagaimanapun, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar kemudian menjelaskan Bersatu masih kekal sebagai anggota gabungan itu sehingga kini.
Perkembangan itu turut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk sama ada parti itu akan menggunakan logo Bersatu atau PN.
Ahmad Faizal berkata, Bersatu akan mengadakan libat urus bersama kepemimpinan bahagian di Melaka sebelum menentukan strategi pilihan raya.
“Dalam bab nak mempersiapkan jentera dalam menghadapi PRN, nak pakai logo Bersatu atau PN, kami tidak mahu fikir lagi sebab PN sendiri pun berdolak-dalik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mempertahankan kesahihan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang didakwa memenuhi syarat ditetapkan dalam perlembagaan parti.
“Jika cukup dua pertiga daripada keseluruhan yang hadir, mesyuarat itu dikira sah,” katanya.
Kes saman: Najib bantah 80 peratus keterangan bekas CEO 1MDB
Rosmah diberi sebulan bayar RM67.46 juta kepada syarikat emas Lubnan
Kerajaan Madani tumpu usaha pulih TH, bukan raih keuntungan politik: Aiman Athirah
Ibrahim Ali sindir PAS, sekutu ‘bela’ UMNO dalam isu RCI TH keluar dewan
Mahfuz: Kalau mahu bela pendeposit TH, pembangkang patut duduk dan bahas
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan