OPR turun: Manfaat kepada rakyat dan bantu hadapi kos sara hidup

July 10, 2025 · Isu semasa

Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali pertama sejak pandemik akan memberi banyak manfaat kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar.

Paling penting apabila OPR diturunkan, kos pinjaman yang dikurangkan akan meningkatkan pendapatan boleh guna dan berpotensi merangsang perbelanjaan penggunam, kata badan penganalisis, MIDF Research.

“Kami melihat ini sebagai positif untuk sektor pengguna memandangkan kesan segera daripada kadar pinjaman yang lebih rendah ialah pengurangan dalam komitmen bulanan untuk gadai janji, pinjaman peribadi dan pembiayaan sewa beli,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) semalam memutuskan penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus daripada 3.00 peratus.

Menurut MIDF Research, industri yang banyak bergantung pada perbelanjaan pengguna seperti runcit, automotif, hospitaliti dan pelancongan dijangka meraih manfaat positif daripada langkah pengurangan OPR.

Ia berkata, peningkatan pendapatan boleh guna dan pilihan pembiayaan yang lebih rendah boleh mendorong pengguna membuat pembelian budi bicara atau pembelian kehendak walaupun terdapat kebimbangan mengenai potensi tekanan inflasi.

“Ini secara berkesan meningkatkan pendapatan boleh guna dan mungkin menggalakkan perbelanjaan baharu merentas kategori budi bicara, terutamanya dalam fesyen dan makanan,” katanya.

MIDF Research berkata, walaupun kesan pengurangan kadar mungkin mengambil masa untuk dirasai sepenuhnya, pihaknya percaya dengan pengurangan kadar serta langkah sokongan fiskal yang berterusan akan membantu mengurangkan kesan jangka pendek semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara bersasar dan rasionalisasi subsidi bahan api secara beransur-ansur.

Justeru, pihaknya mengekalkan pandangan yang membina terhadap sektor pengguna pada separuh kedua 2025.

Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, pasaran hartanah adalah satu lagi penerima utama pengurangan OPR.

Katanya, kadar faedah yang lebih rendah secara lazimnya mendorong peningkatan permintaan terhadap perumahan, terutamanya dalam segmen pertengahan dan mampu milik.

Menurutnya, bakal pembeli lebih cenderung untuk memasuki pasaran apabila kadar gadai janji menggalakkan, membawa kepada jumlah urus niaga yang lebih tinggi.

“Pemaju, seterusnya, boleh mempercepatkan pelancaran projek, menjangkakan peningkatan jualan dan akses yang lebih mudah kepada pembiayaan.

“REITs (dana amanah pelaburan hartanah) juga dijangka meraih manfaat memandangkan hasil mereka menjadi lebih menarik berbanding instrumen pendapatan tetap,” katanya.

Mengulas lanjut, MIDF Research menjangkakan ansuran pinjaman perumahan bulanan berkurangan sebanyak RM70 atau tiga peratus untuk kadar pinjaman berubah-ubah perumahan RM500,000, berdasarkan andaian tempoh pinjaman selama 30 tahun dan kadar faedah 3.9 peratus.

Katanya, walaupun pengurangan ansuran pinjaman perumahan tidaklah ketara, pengurangan OPR itu mampu meningkatkan sedikit kemampuan memiliki rumah.

“Selain itu, kadar faedah yang lebih rendah dijangka meningkatkan kelayakan pinjaman berikutan nisbah khidmat hutang peminjam, yang memudahkan peminjam untuk layak mendapat pinjaman perumahan.

“Secara keseluruhannya, pengurangan OPR memberi petanda baik untuk prospek jualan baharu kepada pemaju,” katanya.

Berita berkaitan
Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi
October 25, 2026· Isu semasa
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
October 25, 2026· Isu semasa
72 rakyat Malaysia ditahan dalam kes dadah di luar negara: Polis
October 22, 2026· Isu semasa
Mahkamah Rayuan kekal arahan Jovian bayar RM10 juta
October 20, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Pengguna Waze dedah paparan data yang disimpan, cetus persoalan privasi
21 jam lalu · Isu semasa
Fahmi umum bantuan untuk dua wartawan kemalangan
24 jam lalu · Isu semasa
Dalang kapal bawa dadah RM785 juta dikenal pasti, polis buru suspek
24 jam lalu · Isu semasa
Sultan Selangor: Teguran demi rakyat, bukan pertelingkahan
October 25, 2026 · Isu semasa
RM15 juta dana kreatif dibuka 16 November: Fahmi
October 24, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok