Mekanisme subsidi diesel bakal ditambah baik: Armizan

August 22, 2026 · Isu semasa

Kerajaan dijangka mengumumkan penambahbaikan mekanisme subsidi diesel dalam tempoh kurang daripada sebulan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) optimis pengumuman itu dapat dibuat lebih awal berbanding anggaran satu hingga dua bulan seperti dimaklumkan sebelum ini.

Armizan berkata keyakinan itu susulan proses libat urus dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta pihak berkepentingan sudah selesai, dengan semua maklum balas diserahkan kepada Kementerian Kewangan (MOF).

“Maklum balas serta input daripada Kerajaan Negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sarawak dan KPDN telah disampaikan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan selaku agensi Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab.

“Terdapat beberapa penambahbaikan dikenal pasti bagi memastikan pelaksanaan subsidi berkenaan sentiasa memelihara kepentingan rakyat,” katanya selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah MADANI dan Kempen Internet Selamat di sini, hari ini.

Pada 16 Ogos lalu, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata kerajaan sedang meneliti beberapa penambahbaikan terhadap pelaksanaan subsidi diesel bersasar sebelum diumumkan dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Antara cadangan yang sedang diteliti termasuk penyederhanaan proses permohonan, kelonggaran kriteria kelayakan bagi isu kenderaan sambung bayar serta pemindahan kuota kepada ahli keluarga terdekat.

Sementara itu, Armizan berkata KPDN turut membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan terhadap dua syarikat pengusaha feri susulan kenaikan tambang perjalanan dari Kudat ke Pulau Banggi.

Beliau berkata notis mendapatkan maklumat yang dikeluarkan pada penghujung Mac lalu tidak mendapat maklum balas, menyebabkan KPDN mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjalankan siasatan terhadap kemungkinan berlaku pakatan harga.

“Saya mengarahkan MyCC untuk memulakan tindakan penyiasatan kerana terdapat aduan berlaku elemen pakatan apabila kedua-dua syarikat membuat pengumuman kenaikan harga bersama.

“Sebarang unsur pakatan harga adalah menyalahi Akta Persaingan,” katanya.

Mengulas dakwaan pengusaha feri tidak menerima subsidi diesel, Armizan menjelaskan feri penumpang awam layak mendapat subsidi melalui penggunaan skid tank dengan permohonan dibuat kepada Jabatan Laut Malaysia.

Bagaimanapun, semakan KPDN mendapati kedua-dua syarikat terbabit masih belum mengemukakan permohonan rasmi walaupun sudah dinasihatkan berbuat demikian.

Dalam perkembangan sama, Armizan mencadangkan Kerajaan Negeri Sabah mengkaji pengambilalihan kawal selia dan pelesenan feri penumpang di bawah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi membuka lebih banyak ruang persaingan dalam pasaran.

Cadangan itu akan dibawa kepada perhatian Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Ewon Benedick yang turut memegang portfolio pembangunan perindustrian, keusahawanan dan pengangkutan negeri.

Berita berkaitan
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
6 jam lalu· Isu semasa
Anwar: Ekonomi meningkat, masalah kos sara hidup rakyat tak diabaikan
6 jam lalu· Isu semasa
MOF belum putuskan bantuan kewangan untuk AirAsia
October 19, 2026· Isu semasa
Hampir RM11 bilion STR, SARA disalur hingga September
October 19, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Anugerah Seri Angkasa iktiraf sumbangan warga penyiaran: Fahmi
October 24, 2026 · Isu semasa
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
6 jam lalu · Isu semasa
Kapal bawa ketamin RM785 juta milik syarikat Malaysia: Polis
6 jam lalu · Isu semasa
23 kawasan catat IPU tidak sihat, Seremban tertinggi setakat 4 petang
6 jam lalu · Isu semasa
Jangan serah keselamatan digital anak kepada platform semata-mata
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok