Harga mingguan minyak.
Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat lima sen seliter bagi tempoh 27 Ogos hingga 2 September ini.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga RON97 kini ditetapkan pada RM4.30 seliter berbanding RM4.25 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi naik kepada RM3.82 daripada RM3.77 seliter.
Harga diesel tanpa subsidi pula meningkat kepada RM4.72 seliter berbanding RM4.67 sebelum ini.
Bagaimanapun, pengguna yang menikmati subsidi terus membayar harga lebih rendah. RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kekal RM1.99 seliter, manakala diesel di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) kekal RM2.10 seliter.
Bagi pengguna di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), harga masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.
Menurut MOF, kerajaan menanggung subsidi RM1.83 seliter bagi pengguna yang layak menerima BUDI95, bersamaan kira-kira 48 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi semasa.
Bagi BUDI Diesel pula, subsidi yang ditanggung kerajaan berjumlah RM2.62 seliter atau 56 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi.
MOF berkata kenaikan harga berlaku ketika pasaran petroleum global terus berdepan tekanan akibat ketidaktentuan geopolitik dan gangguan terhadap aliran bekalan.
“Sepanjang sebahagian besar tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$90 setong,” menurut MOF.
Menurut kementerian itu, sekatan trafik di Selat Hormuz turut terus mengekang bekalan minyak dunia. Selepas 179 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, sekitar 290 juta daripada 400 juta tong minyak yang dipersetujui untuk dilepaskan daripada simpanan kecemasan negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah disalurkan ke pasaran setakat Julai 2026.
“Penyusutan penampan bekalan ini meningkatkan risiko tekanan harga sekiranya gangguan berterusan,” menurut MOF.
Gangguan terhadap kapasiti penapisan di Asia Barat dan Rusia turut mengurangkan bekalan produk petroleum bertapis, dengan tekanan lebih ketara dilihat terhadap harga diesel berikutan pasaran diesel global yang semakin ketat.
MOF berkata walaupun harga minyak mentah dunia menurun pada penghujung tempoh pengiraan APM, penurunan itu masih belum mencukupi untuk mengimbangi paras harga lebih tinggi sepanjang sebahagian besar minggu sebelumnya.
“Selagi aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal dan ketidaktentuan geopolitik berterusan, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara dalam tempoh terdekat,” menurut kementerian itu.
Dua pembantu Najib diperintah bayar RM483,000 kepada pendakwah bebas
RCI Tabung Haji: SPRM tahan bekas pengerusi TH, bekas KSU Perbendaharaan
Kerajaan perketat kawalan platform e-dagang, terima aduan pengguna banyak: Fahmi
KJ mohon mahkamah dedah siapa di sebalik artikel fitnah
Pendakwah terkenal didakwa seleweng dana NGO RM13 juta
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri