Rakyat menikmati Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI).
Kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion pada 2027 berbanding RM15 bilion tahun ini bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, sekali gus memberi manfaat kepada sehingga sembilan juta penerima.
“Peruntukan STR dan SARA 2027 ditingkatkan kepada RM16 bilion, ketimbang RM15 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain bantuan bulanan kepada penerima STR, kerajaan turut mengumumkan pemberian SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR.
Bantuan itu akan disalurkan sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, dengan manfaat dijangka dinikmati sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan berpendapatan sederhana atau M40.
Dalam usaha memperluas akses kepada bantuan, kerajaan turut membenarkan penggunaan SARA untuk membeli barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
Ketika ini, rangkaian rakan niaga SARA melibatkan kira-kira 15,000 premis, termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi. Kerajaan menyasarkan jumlah kedai runcit kecil yang menyertai program itu meningkat kepada 10,000 sebelum akhir tahun ini.
Anwar berkata, isu kos sara hidup terus menjadi keutamaan kerajaan dan pelbagai dasar akan ditambah baik bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Bagi tahun hadapan, jumlah keseluruhan peruntukan subsidi, bantuan dan insentif kerajaan dijangka melebihi RM80 bilion.
Daripada jumlah itu, subsidi bahan api dianggarkan kekal tinggi pada RM40 bilion, manakala bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat diperuntukkan hampir RM3.3 bilion.
Kerajaan turut meneruskan langkah mengurangkan tekanan perbelanjaan isi rumah melalui peluasan perlindungan bil elektrik daripada penggunaan 600 kilowatt-jam kepada 800 kilowatt-jam sebulan, yang memberi manfaat kepada lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik.
Selain itu, kelayakan bulanan BUDI95 dinaikkan kepada 300 liter, manakala BUDI Diesel bagi pemilik jip dan pikap ditetapkan pada 400 liter sebulan.
Menurut rekod September, sekitar 100,000 pengguna atau kurang satu peratus menggunakan sepenuhnya kelayakan BUDI95 sebanyak 300 liter, manakala 15,000 pengguna diesel bagi kategori jip dan pikap menggunakan sepenuhnya had 400 liter.
Langkah-langkah itu mencerminkan usaha kerajaan mengekalkan bantuan bersasar sambil memastikan peruntukan negara terus memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum