Parti Amanah.
Dakwaan wujud campur tangan pihak asing dalam usaha menjatuhkan Kerajaan Malaysia perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat, bukan dijadikan modal politik.
Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah Sabu berkata, isu itu serius kerana menyentuh aspek keselamatan serta kedaulatan negara.
Menurutnya, jika dakwaan berkenaan benar, siasatan perlu dijalankan bagi menentukan kesahihan perkara itu termasuk pihak terbabit, perkara yang dibincangkan serta tujuan campur tangan tersebut.
“Jika benar wujud cubaan campur tangan asing untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia, ia bukan bahan untuk dibanggakan di pentas politik.
“Ia perkara yang sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana menyentuh keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu susulan penafian Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur yang menolak dakwaan pernah cuba menentukan kepemimpinan politik Malaysia.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS, David H Gamble Jr, berkata AS tidak pernah berusaha menentukan siapa yang memimpin Malaysia dan menyifatkan dakwaan sebaliknya sebagai palsu.
Isu itu tercetus selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa seorang wakil Kedutaan AS pernah bertanya mengenai calon yang dicadangkan parti itu sebagai Perdana Menteri ketika PAS masih sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat.
Dakwaan itu dikatakan berlaku sekitar tempoh lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama, ke Malaysia.
Aiman Athirah turut mempersoalkan mengapa dakwaan berkenaan hanya dibangkitkan sekarang, sedangkan perkara itu didakwa berlaku lebih sedekad lalu.
Katanya, isu berkenaan juga perlu dilihat dari sudut kesannya terhadap imej Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya selepas penafian rasmi Kedutaan AS.
“Belum pun reda semangat sambutan Merdeka, rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu dakwaan serius membabitkan kuasa asing dan politik dalaman negara,” katanya.
Sehubungan itu, Aiman Athirah menggesa Abdul Hadi serta individu lain yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan disiasat bagi mendapatkan gambaran sebenar.
“Adakah PAS boleh berkompromi terhadap keselamatan dan kedaulatan negara?
“Politik Malaysia tidak seharusnya dibina berasaskan teori konspirasi, persepsi atau tuduhan tanpa asas kukuh,” katanya.
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
AGC bawa kes pembatalan pendaftaran PN ke Mahkamah Rayuan
DUN Sarawak bubar 26 Oktober ini, beri laluan PRN diadakan
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
Abang Johari panggil sidang media khas, DUN Sarawak bakal bubar?
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum