Setiausaha Agung Parti Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Parti Amanah mendakwa PAS terus memainkan sentimen politik berasaskan fitnah susulan kenyataan Presidennya, Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Pakatan Harapan (PH) bersendikan DAP ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Parlimen.
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, tuduhan itu tidak disertakan bukti atau justifikasi kukuh untuk menunjukkan DAP mendominasi PH mahupun Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Menurutnya, DAP hanya mempunyai empat menteri penuh, bersamaan 12.5 peratus daripada keseluruhan anggota Kabinet Kerajaan Madani.
Beliau menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai usaha membangkitkan sentimen politik, sedangkan perbahasan Belanjawan 2027 sepatutnya memberi tumpuan kepada manfaat yang bakal dinikmati rakyat.
“Belanjawan 2027 memperlihatkan pelbagai bantuan kerajaan kepada rakyat, khususnya golongan B40, termasuk peningkatan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM150 sebulan dan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Faiz berkata, golongan M40 turut mendapat manfaat menerusi pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak satu peratus, manakala pelajar Tingkatan Enam diberikan elaun sara hidup RM2,500.
Katanya, Kerajaan MADANI turut meningkatkan peruntukan hal ehwal agama kepada RM3.1 bilion pada 2027 berbanding RM2.6 bilion pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan perhatian terhadap pembangunan Islam.
Beliau mempersoalkan dakwaan DAP menjadi tonggak utama PH sedangkan parti itu turut berada dalam kerajaan yang meluluskan pelbagai bantuan rakyat serta peningkatan peruntukan agama berkenaan.
Sehubungan itu, Faiz menggesa PAS menghentikan penggunaan isu DAP sebagai modal politik, termasuk dengan mengaitkannya dengan kedudukan Islam dan kepentingan rakyat.
Beliau turut mengimbas perpisahan PAS dengan DAP pada 2015, yang ketika itu dikaitkan dengan perbezaan pendirian mengenai pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 dan pelaksanaan hukum hudud.
“Selepas 11 tahun berlalu, RUU 355 dan hudud tidak lagi menjadi agenda perjuangan PAS, sedangkan DAP masih dijadikan bahan untuk membangkitkan sentimen politik.
“Sebab itu, saya merasakan PAS masih tidak boleh ‘move on’,” katanya.
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
Adly: PH tidak tanding semua kerusi di Melaka
Abu Bakar kekal MB Perlis walaupun digantung keahlian Bersatu: Laporan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum