Lawatan sulung PMX ke Maldives beri momentum baharu hubungan dua hala: Bernama

September 14, 2026 · Isu semasa

Lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Maldives dijangka memberikan momentum baharu kepada hubungan dua hala Malaysia-Maldives, selain membuka ruang untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan serta hal ehwal Islam.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives, Badli Hisham Adam berkata lawatan rasmi sulung Anwar ke republik itu selama dua hari bermula hari ini akan menumpukan kepada usaha memperkukuh kerjasama sedia ada, dan meneroka bidang baharu yang berpotensi untuk kepentingan kedua-dua negara.

Beliau berkata Perdana Menteri dan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu akan menilai perkembangan hubungan dua hala, serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin akan menilai kerjasama dua hala yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara dan meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang, terutamanya perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan dan hal ehwal Islam,” katanya kepada media Malaysia menjelang lawatan Perdana Menteri ke sini.

Anwar dan Muizzu turut dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama pertahanan dan hal ehwal Islam.

Badli Hisham berkata lawatan balas susulan kunjungan rasmi Muizzu ke Malaysia pada April 2025 itu akan meletakkan asas lebih kukuh bagi memperluas kerjasama dua hala yang lebih dinamik, progresif dan berorientasikan masa hadapan.

Dalam rangka lawatan berkenaan, Anwar akan diraikan dalam majlis sambutan rasmi di Republic Square, di sini, sebelum mengadakan mesyuarat empat mata dengan Muizzu, disusuli mesyuarat delegasi kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin kemudian dijadual mengadakan sidang akhbar bersama, dengan kemuncak lawatan itu Perdana Menteri akan diraikan dalam jamuan makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Muizzu.

Hubungan diplomatik Malaysia dan Maldives terjalin sejak 1968, dengan kedua-dua negara terus komited memperdalam hubungan dua hala, memperkukuh kerjasama ekonomi serta merapatkan hubungan antara rakyat.

Maldives ialah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di Asia Selatan pada 2025, selain menduduki kedudukan sama sebagai destinasi eksport dan sumber import Malaysia di rantau itu, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM792 juta.

Eksport Malaysia ke Maldives pula berjumlah RM786.2 juta, dengan produk petroleum menyumbang 31.6 peratus daripada keseluruhan eksport. – Bernama

Berita berkaitan
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
2 jam lalu· Isu semasa
Pendirian kerajaan terhadap rasuah tak berubah walaupun Najib diberi pengampunan: PMX
September 18, 2026· Politik
Hari Malaysia: Anwar seru kukuh ikatan rakyat dan wilayah
September 16, 2026· Isu semasa
PMX temui Mufti Besar India, fokus usaha perkukuh keharmonian agama
September 13, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
2 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
2 jam lalu · Isu semasa
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
5 jam lalu · Isu semasa
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
24 jam lalu · Isu semasa
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
24 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok