Presiden AS, Donald Trump memberitahu sudah bercakap dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berhubung isu tarif.
Pentadbiran Donald Trump mencapai perjanjian perdagangan dengan Indonesia dengan mengenakan tarif sebanyak 19 peratus ke atas barangan mereka.
Perjanjian terbaharu diumumkan Presiden Amerika Syarikat itu lebih rendah berbanding pengumuman sebelum ini dimana Indonesia dikenakan tarif 32 peratus.
Dalam pengumuman itu juga, Trump memberitahu sudah berbincang dan bercakap dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berhubung rancangan perdagangan antara kedua-dua negara dan juga menyentuh isu tarif.
Sambil memberikan butiran terkini mengenai rancangan tarif terhadap ubat-ubatan, Trump berkata, lebih banyak perjanjian lain sedang dirancang dengan negara itu.
Trump mengumumkan perjanjian dengan Indonesia, yang merupakan rakan dagang yang agak kecil bagi AS, ketika beliau terus mendesak untuk mendapatkan syarat perdagangan yang lebih baik dan mengurangkan defisit perdagangan AS yang besar.
Beliau juga berkata, surat yang menetapkan kadar tarif untuk berpuluh-puluh negara kecil lain akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Perjanjian dengan Indonesia adalah antara beberapa perjanjian yang telah dimeterai oleh pentadbiran Trump setakat ini menjelang tarikh akhir 1 Ogos ini, di mana tarif ke atas kebanyakan import AS dijangka meningkat lagi.
Perjanjian ini dibuat ketika Kesatuan Eropah (EU), rakan dagang terbesar AS, bersiap sedia untuk melancarkan langkah balas sekiranya rundingan dengan Washington gagal.
AS mencapai pakatan perdagangan dengan Indonesia yang akan menyaksikan komitmen pembelian yang ketara berikutan rundingan untuk mengelak tarif yang lebih tinggi.
“Barangan Indonesia yang memasuki AS akan dikenakan tarif 19 peratus,” kata Trump dalam satu catatan di platform Truth Socialnya.
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Indonesia komited untuk membeli AS$15 bilion dolar dalam (sektor) tenaga AS, AS$4.5 bilion dolar dalam produk pertanian Amerika, dan 50 jet Boeing, kebanyakannya 777,” tulis Trump.
Saham Boeing ditutup turun 0.2 peratus selepas pengumuman itu.
Pentadbiran Trump berada di bawah tekanan untuk memuktamadkan pakatan perdagangan, ketika negara-negara berunding dengan Washington untuk mengelakkan rancangan tarif presiden AS.
Minggu lalu, Trump memperbaharui ancaman levi 32 peratus ke atas barangan Indonesia, dengan menyatakan dalam surat kepada kepimpinan negara itu bahawa tarif baharu itu akan berkuat kuasa 1 Ogos.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu pemberita bahawa perjanjian lain sedang dirumus termasuk dengan India, sementara perbincangan dengan Kesatuan Eropah (EU) diteruskan.
Trump pada April mengenakan tarif 10 peratus ke atas hampir semua rakan dagangan sambil mengumumkan rancangan untuk akhirnya menaikkan kadar itu untuk berpuluh-puluh ekonomi, termasuk EU dan Indonesia.
BDR penjawat awam berjaya jimat lebih RM4 juta subsidi petrol
Pelaksanaan pasport baharu ditunda: JIM
Kes suapan konsesi Menara KL ribu dipindah ke Mahkamah Tinggi
Kerajaan teruskan bantuan BUDI Agri-Komoditi: Anwar
Bekalan minyak negara stabil hingga Julai: Akmal Nasrullah
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi