Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin.
Kerajaan digesa menilai semula mekanisme pelarasan bahan api automatik (AFA) bagi mengurangkan tekanan kenaikan bil elektrik terhadap pengguna domestik, terutama keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, peningkatan bil antara RM30 hingga RM100 mungkin kelihatan kecil, namun memberi kesan besar kepada keluarga yang perlu mengutamakan perbelanjaan harian.
“Saya mendengar rungutan rakyat tentang bil elektrik yang semakin tinggi. Tambahan RM30, RM50 atau RM100 mungkin nampak kecil di atas kertas, tetapi bagi keluarga biasa, itulah duit susu anak, barang dapur dan belanja sekolah,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, beliau memahami asas penstrukturan tarif elektrik sejak Julai 2025 yang bertujuan memastikan subsidi lebih bersasar, selain menjamin bekalan elektrik negara kekal stabil dan mampan.
Namun, katanya, dasar yang baik perlu dinilai semula apabila berlaku perubahan besar dalam pasaran tenaga dunia.
Danish berkata kadar AFA bagi pengguna domestik yang menggunakan lebih 600 kilowatt jam (kWh) sebulan meningkat daripada 2.59 sen bagi setiap kWh pada Jun kepada 3.59 sen pada Julai, 3.80 sen pada Ogos dan 3.67 sen pada September 2026.
Katanya, ketidaktentuan pasaran tenaga susulan krisis di Selat Hormuz turut memberi tekanan terhadap harga tenaga dunia, termasuk gas asli cecair (LNG) serta rantaian bekalan tenaga.
“Kita mungkin tidak mampu mengawal harga tenaga dunia, tetapi kita boleh menentukan berapa banyak tekanan itu patut dipindahkan kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Danish menggesa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga menilai semula tahap perlindungan AFA untuk pengguna domestik.
Beliau turut mempersoalkan penggunaan had 600 kWh sebagai ukuran tunggal, kerana penggunaan tinggi tidak semestinya menggambarkan kemampuan kewangan sesebuah isi rumah.
Katanya, keluarga B40 dan M40 dengan ramai tanggungan, warga emas atau ahli keluarga yang memerlukan peralatan perubatan di rumah mungkin menggunakan elektrik lebih tinggi atas faktor keperluan.
Danish mencadangkan perlindungan AFA secara bersasar dan berperingkat dengan mengambil kira pendapatan, jumlah tanggungan serta keperluan sebenar isi rumah.
Dalam masa sama, beliau mahu Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadikan skim Time-of-Use (TOU) lebih mudah difahami dan benar-benar membantu pengguna mengurangkan bil.
“Jangan sekadar suruh rakyat berjimat. Tunjukkan kepada rakyat bagaimana mereka boleh berjimat,” katanya.
Beliau berkata data daripada meter pintar sepatutnya dimanfaatkan TNB untuk membantu pengguna mengenal pasti kesesuaian TOU berdasarkan corak penggunaan elektrik masing-masing.
Bagaimanapun, Danish mengingatkan TOU bukan penyelesaian kepada semua masalah kerana tidak semua keluarga mempunyai kebebasan mengubah waktu penggunaan elektrik.
“Apabila keadaan berubah dan rakyat mula terhimpit, kerajaan mesti mendengar dan bertindak. Rakyat cuma tidak mahu kejutan harga tenaga dunia ditanggung sendirian,” katanya.
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum