Zaidi minta maaf kepada DAP, letak jawatan ahli MBSP

September 16, 2026 · Politik

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Zaidi Said, memohon maaf atas kenyataannya terhadap DAP sebelum ini selepas mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Perkembangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Zaidi mengkritik keras DAP ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu.

Dalam ucapan itu, Zaidi mendakwa DAP merupakan parti rasis yang tidak senang melihat usaha penyatuan Melayu antara UMNO dan PAS.

“DAP mula rasa resah, gelisah. Mereka tak boleh tengok bagaimana muafakat Melayu itu berlaku.

“Kerana apabila Melayu itu bersatu, nescaya mereka tidak akan berkuasa lagi dalam negara ini,” katanya.

Zaidi turut mendakwa DAP menggunakan pelbagai cara untuk memecahbelahkan perpaduan Melayu-Islam, selain menafikan UMNO bersikap anti-Cina.

Namun, pendirian itu berubah dalam surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jason H’ng Mooi Lye, pada Isnin.

Dalam surat berkenaan, Zaidi menyatakan kekesalan dan memohon maaf atas ucapannya yang disifatkan sebagai satu kekhilafan.

“Saya dengan penuh rasa tanggungjawab ingin merakamkan kekesalan dan memohon maaf atas ucapan yang telah saya sampaikan.

“Saya menerima perkara tersebut sebagai satu pengajaran yang amat penting kepada diri saya bahawa pandangan dan pendirian individu perlu disampaikan dengan penuh pertimbangan, khususnya apabila seseorang itu turut memikul tanggungjawab dalam sistem pentadbiran kerajaan bersama,” katanya.

Zaidi turut mengakui kenyataannya boleh menimbulkan persepsi atau salah faham terhadap DAP, khususnya berkaitan kerjasama dalam pentadbiran Pulau Pinang.

“Saya mengakui ruang berkenaan tidak seharusnya digunakan untuk menyampaikan pandangan yang boleh menimbulkan persepsi atau salah faham terhadap DAP, khususnya dalam konteks kerjasama dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata keputusan meletakkan jawatan dibuat bagi mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan tersebut.

Menariknya, Zaidi turut merakamkan penghargaan kepada beberapa pemimpin DAP Pulau Pinang yang pernah bekerjasama dengannya dalam urusan pentadbiran dan kebajikan rakyat.

Beliau menyatakan penghormatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang disifatkannya sebagai pemimpin yang memberi perhatian kepada kebajikan rakyat, mengutamakan toleransi dan melaksanakan amanah pentadbiran dengan penuh tanggungjawab.

Zaidi turut menghargai kerjasama Jason H’ng, Steven Sim dan Zairil Khir Johari, sambil menyifatkan mereka mempunyai komitmen, visi serta rasa tanggungjawab terhadap rakyat.

Peletakan jawatan itu berlaku ketika terdapat desakan daripada beberapa pihak dalam DAP supaya kerajaan Pulau Pinang menilai semula kedudukan UMNO dalam pentadbiran negeri.

Desakan berkenaan timbul selepas UMNO mengkritik kerjasama dengan DAP di peringkat Kerajaan Persekutuan.

H’ng yang mengumumkan peletakan jawatan Zaidi menerusi Facebook berkata kandungan surat itu menunjukkan kerajaan negeri pimpinan DAP berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

Berita berkaitan
Tindakan RoS gantung PN bukan dibuat sewenang-wenangnya: Zahid
5 jam lalu· Politik
Anthony Loke kekal pendirian letak jawatan: Bernama
11 jam lalu· Politik
PRN Melaka: Anwar sahkan PH sedia buka ruang kerjasama, bincang cari titik persamaan
September 23, 2026· Politik
Anwar minta Loke fikir semula keputusan letak jawatan
September 23, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Pemuda PH Negeri Sembilan desak MB kemuka senarai Exco baharu
2 jam lalu · Politik
Wanita PKR gesa institusi raja tidak dijadikan medan politik
5 jam lalu · Politik
MB sahkan Exco Negeri Sembilan dilarang masuk pejabat selepas titah Tuanku
5 jam lalu · Politik
PN ambil tindakan undang-undang selepas digantung RoS: Takiyuddin
11 jam lalu · Politik
Semua kegiatan PN digantung selepas terima aduan Bersatu: RoS
11 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok