Jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan rekod baharu.
Malaysia dijangka merekodkan pertumbuhan purata tahunan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.3 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2035, menurut laporan terbaharu Bain & Company, DBS Bank dan Vriens & Partners.
Laporan bertajuk ‘From Tailwinds to Trade-Offs: Southeast Asia Outlook 2026-2035’ itu menyatakan prospek pertumbuhan Malaysia akan dipacu beberapa sektor utama, termasuk semikonduktor, pusat data dan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang mempunyai hubungan perdagangan kukuh turut dilihat menjadi antara faktor penting dalam menyokong pertumbuhan sepanjang tempoh berkenaan.
“Pertumbuhan itu akan disokong oleh pelaburan asing dan pembentukan modal yang mampan, perindustrian serta pembangunan infrastruktur yang berterusan, selain peningkatan produktiviti hasil penggunaan teknologi,” menurut kenyataan bersama ketiga-tiga firma berkenaan.
Enam ekonomi terbesar Asia Tenggara atau SEA-6 pula dijangka berkembang pada kadar purata 4.8 peratus setahun antara 2026 hingga 2035.
Kumpulan SEA-6 merangkumi Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Menurut laporan itu, pertumbuhan rantau Asia Tenggara dalam tempoh sedekad akan datang banyak dipengaruhi perkembangan ekonomi global, selain keputusan dasar yang dibuat setiap negara dalam jangka pendek.
Pada masa sama, negara-negara di rantau ini mempunyai keutamaan domestik berbeza, namun ekonomi mereka terus saling berkait menerusi perdagangan, pelaburan, rantaian bekalan, tenaga dan teknologi.
Laporan itu turut menekankan peranan Singapura sebagai antara ekonomi paling berdaya tahan di rantau ini, didorong kedudukannya sebagai hab kewangan dan modal serantau serta reputasinya sebagai pusat perniagaan yang dipercayai.
Singapura dilaporkan menarik lebih 60 peratus pelaburan langsung asing (FDI) di Asia Tenggara dan menjadi hab modal serantau ASEAN.
Republik itu juga menjadi sumber FDI terbesar bagi beberapa ekonomi utama ASEAN termasuk Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam.
“Peranan dua hala ini membolehkan Singapura menghubungkan modal dan keupayaan global dengan perniagaan serta peluang di seluruh Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan kesalingbergantungan antara kejayaannya dengan kejayaan rantau ini secara lebih meluas,” menurut laporan itu.
Bagi Malaysia, unjuran pertumbuhan 4.3 peratus itu datang ketika negara terus memperkukuh kedudukan dalam industri bernilai tinggi, khususnya sektor semikonduktor, ekonomi digital, pusat data dan teknologi AI.
Laporan berkenaan pada masa sama mengingatkan faktor seperti tenaga dan demografi perlu diberi perhatian bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
SPR daftar hampir 42,000 pengundi baharu pada Oktober
MySIREN lebih pantas daripada SMS, data pengguna kekal selamat: Fahmi
MySIREN dilancar, amaran kecemasan terus ke telefon bimbit
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan