Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) Negeri Sembilan menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan tiada kekosongan pada jawatan itu.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, kedudukan baginda kekal selagi jawatan berkenaan dipegang secara sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Beliau turut menyambut baik kenyataan Menteri Besar, Ismail Lasim pada 15 September lalu yang menyatakan beliau tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
“Justeru kesahan serta kesan proklamasi tersebut hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Raja Norazli, Perkara 16 UUTKNS 1959 menetapkan persoalan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang berada dalam bidang kuasa DKU.
Katanya, nasihat Dewan berkaitan perkara itu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi tersebut atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya.
Beliau berkata, atas asas itu, keputusan MMK pada 16 September lalu tidak memberi kesan dari sudut undang-undang sekiranya dokumen tersebut bertujuan mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, mengiktiraf Yang di-Pertuan Besar baharu serta mengarahkan pelaksanaannya.
“Ia menyentuh perkara-perkara yang berada di luar bidang kuasa MMK dan bertentangan dengan ketetapan Dewan yang mengikat.
“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya.
Raja Norazli turut mengulangi pendirian DKU terhadap proklamasi bertarikh 19 April lalu yang didakwa cacat sejak awal, termasuk dakwaan tiada siasatan dilaksanakan mengikut Perkara 10(1) UUTKNS 1959.
Beliau berkata, tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi itu juga tidak lagi memegang jawatan Undang pada tarikh berkenaan.
Kemelut tersebut kini turut menjadi perkara dalam prosiding di Mahkamah Tinggi, selain terdapat perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa.
DKU menyeru semua pihak menghormati proses mahkamah serta tidak mengambil tindakan yang boleh memintas atau mengganggu proses perundangan.
“Institusi adat Negeri Sembilan, termasuk institusi Yang di-Pertuan Besar dan institusi Undang, bukan milik mana-mana parti atau individu, tetapi merupakan amanah bagi semua anak buah dan waris,” katanya.
Chegubard dipenjara empat bulan kes fitnah: Laporan
MCA tak hadir di pelancaran jentera BN Masjid Tanah, krisis kerusi belum reda?
Mahkamah dengar cabaran PN terhadap penggantungan RoS 7 Disember
Lima tahun dibicarakan, pendakwaan tutup kes terowong Guan Eng
PRN Melaka: PH sasar pertahan kerusi, intai peluang rampas baharu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum