Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin.
PAS diminta tampil menjelaskan pendirian dan peranan wakilnya dalam kemelut melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin, berkata penjelasan itu penting susulan pengesahan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, pada 17 September lalu, yang memaklumkan keputusan berhubung proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz dibuat secara sebulat suara oleh semua ahli Exco.
Menurutnya, PAS tidak wajar berdiam diri kerana parti itu mempunyai wakil dalam pentadbiran negeri.
“Adakah wakil PAS turut menyokong keputusan itu? Jika menyokong, tampil dan pertahankannya. Jika membantah, nyatakan bila bantahan itu dibuat dan mengapa Menteri Besar mengumumkannya sebagai keputusan sebulat suara,” katanya dalam kenyataan.
Danish berkata, persoalan itu berkait rapat dengan tanggungjawab politik, terutama ketika PAS sering menyatakan pendirian mengenai kepentingan institusi diraja.
“Jangan jadikan diam sebagai jalan keluar. PAS mesti jawab. Rakyat berhak tahu siapa yang membuat keputusan, siapa yang menyokongnya dan siapa yang perlu bertanggungjawab,” katanya.
Kemelut tersebut semakin memuncak selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta pada 20 September.
Menurut kenyataan Istana Negeri Sembilan, tindakan itu dibuat selepas barisan Exco didapati memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September.
Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 turut menyatakan seseorang anggota Exco memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Sebelum itu, Ismail mengesahkan semua Exco negeri bersetuju secara sebulat suara terhadap proklamasi berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz dalam mesyuarat pada 15 September.
Proses pewartaan turut diminta diteruskan melalui Setiausaha Kerajaan Negeri.
Danish berkata, dalam keadaan kemelut yang menyentuh isu adat, perlembagaan dan institusi diraja itu, rakyat Negeri Sembilan berhak mengetahui pendirian PAS serta peranan wakilnya dalam keputusan berkenaan.
“Dalam keadaan penting ketika ini, diam bukan sebuah jawapan. PAS mesti jelaskan pendiriannya dan peranan wakilnya kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Johari: Tiada usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat
MP Pendang tarik balik kenyataan fitnah terhadap Anwar, kes saman selesai
Rayuan Majlis Peguam cabar pengampunan Najib diputuskan 7 Januari: Bernama
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum