Krisis Negeri Sembilan.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan memutuskan secara sebulat suara untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Muzalmah Mustapha Kamal.
Menteri Besar, Ismail Lasim berkata, keputusan itu susulan perkembangan pentadbiran negeri yang memerlukan tindakan lanjut terhadap kedua-dua jawatan berkenaan.
Menurutnya, notis penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Selain itu, notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri Negeri Sembilan akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi memastikan urusan pentadbiran negeri tidak terjejas, Pegawai Kewangan Negeri, Masri Razali dinamakan menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga penyandang baharu dinamakan Ketua Setiausaha Negara.
Ismail berkata, tugas berkaitan nasihat perundangan negeri pula akan dilaksanakan oleh peguam bela dan peguam cara, Fahmi Adilah sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri baharu dilantik Jabatan Peguam Negara.
Dalam perkembangan sama, Ismail mengesahkan semua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kekal dan masih sah.
“Pada masa yang sama, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Keputusan itu dibuat ketika pentadbiran Negeri Sembilan berdepan perkembangan berkaitan struktur dan pelantikan dalam kerajaan negeri. Sebelum ini, isu berkaitan kedudukan beberapa jawatan dalam pentadbiran negeri turut menjadi perhatian susulan perkembangan melibatkan institusi diraja dan kerajaan negeri.
Kerajaan negeri bagaimanapun memberi jaminan urusan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan diteruskan tanpa gangguan.
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
Akaun TikTok Na’im disekat TikTok, bukan MCMC: Hakim Norliza
Anwar imbau detik di Penjara Sungai Buloh
DUN Melaka dijangka bubar hari ini, PRN semakin hampir
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum