Mahfuz Omar.
Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar melihat kemelut pentadbiran Negeri Sembilan kini memasuki fasa membimbangkan apabila hubungan antara kerajaan negeri, Institusi Diraja dan perkhidmatan awam semakin tegang.
Beliau berkata perkembangan itu bukan lagi sekadar perbezaan pandangan mengenai pentadbiran, sebaliknya sudah membabitkan persoalan kepercayaan antara beberapa institusi utama negeri.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 20 September lalu selepas Istana mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim menegaskan barisan Exco sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa, selain tidak akan mengemukakan senarai Exco baharu kepada Tuanku Muhriz.
Dalam perkembangan terbaharu, kerajaan negeri turut menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.
Namun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian menyatakan Exco tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas kedua-dua pegawai berkenaan.
AGC menjelaskan perkara berkaitan pelantikan dan penggantungan mereka tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Mahfuz berkata keadaan itu menimbulkan persoalan lebih besar mengenai keupayaan kerajaan negeri mengurus hubungan antara Institusi Diraja, kerajaan dan perkhidmatan awam.
“Persoalan sekarang bukan siapa lebih berkuasa, tetapi siapa yang boleh dipercayai. Kerajaan boleh mempunyai perbezaan pandangan, tetapi kerajaan tidak boleh kehilangan kepercayaan,” katanya.
Menurutnya, pegawai awam yang mengambil pendirian berasaskan undang-undang tidak seharusnya dianggap sebagai pihak yang memusuhi kerajaan kerana fungsi semak dan imbang penting bagi mengelakkan keputusan pentadbiran tersasar daripada kerangka perundangan.
Beliau turut menyifatkan Menteri Besar sebagai pihak yang sepatutnya menjadi jambatan antara Istana, kerajaan negeri dan perkhidmatan awam.
“Jambatan dibina untuk menghubungkan dua tebing. Kalau jambatan itu sendiri sudah dibakar, jangan pura-pura kata sungai masih boleh diseberangi seperti biasa,” katanya.
Mahfuz berkata rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa kepada pertikaian kuasa antara institusi, sebaliknya mahu kerajaan memberi tumpuan kepada ekonomi, pekerjaan, kos sara hidup, pelaburan serta pembangunan infrastruktur.
Beliau turut menggesa Ismail melakukan muhasabah politik dan menilai sama ada beliau masih mempunyai ruang kepercayaan mencukupi untuk memulihkan hubungan antara kerajaan negeri dengan Istana.
“Jika kepercayaan sudah terlalu terhakis sehingga hubungan antara kedua-dua institusi tidak lagi dapat dipulihkan di bawah kepimpinannya, demi kepentingan Negeri Sembilan, beliau wajar mempertimbangkan pengunduran diri.
“Itu bukan soal kalah atau menang. Itu soal meletakkan kepentingan negeri lebih tinggi daripada kedudukan individu,” katanya.
Mahfuz menegaskan Negeri Sembilan bukan kekurangan kuasa, sebaliknya memerlukan usaha untuk membina semula kepercayaan antara institusi.
PRN Melaka: Anwar sahkan PH sedia buka ruang kerjasama, bincang cari titik persamaan
Anwar minta Loke fikir semula keputusan letak jawatan
Johari: Tiada usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat
MP Pendang tarik balik kenyataan fitnah terhadap Anwar, kes saman selesai
Rayuan Majlis Peguam cabar pengampunan Najib diputuskan 7 Januari: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum