Proton e.MAS.
Proton e.MAS mencatat satu lagi pencapaian apabila penyerahan kenderaan elektrik (EV) jenama itu mencecah 40,000 unit hanya 20 bulan selepas dilancarkan di pasaran Malaysia.
Pencapaian itu diraikan Proton New Energy Sdn. Bhd. (PRO-NET), anak syarikat milik penuh Proton Holdings Berhad, menerusi majlis penyerahan kunci kepada pemilik ke-40,000, Noor Azira, yang menerima sebuah e.MAS 7 Premium Plus berwarna hitam di Subang Jaya.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, pencapaian itu menggambarkan perkembangan komuniti pemilik Proton e.MAS yang terdiri daripada pembeli EV kali pertama, keluarga serta pengguna yang menjadikan kenderaan elektrik sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.
“Pencapaian 40,000 kenderaan Proton e.MAS merupakan satu pencapaian yang bermakna buat syarikat kerana di sebalik setiap kenderaan itu ialah pelanggan yang memilih untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan kami.
“Seiring dengan perkembangan komuniti ini, tanggungjawab kami juga semakin besar untuk menjadikan pengalaman memiliki EV lebih mudah, selesa dan memberikan lebih banyak manfaat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Qiang, PRO-NET turut memperkukuh pengalaman pemilikan pelanggan menerusi pelbagai manfaat meliputi kemudahan pengecasan, perkhidmatan selepas jualan, ganjaran, e.MAS Care serta perkhidmatan digital.
Sempena pencapaian 40,000 unit itu, pemilik Proton e.MAS akan menikmati diskaun 40 peratus bagi pengecasan bermula 1 Oktober hingga 5 Oktober 2026 melalui aplikasi Proton e.MAS.
Promosi berkenaan berlangsung dari 11 pagi pada 1 Oktober hingga 11 pagi pada 5 Oktober tanpa memerlukan pendaftaran atau penebusan. Pemilik hanya perlu menggunakan aplikasi berkenaan ketika mengecas kenderaan.
Bagi perkhidmatan selepas jualan pula, pelanggan boleh menikmati diskaun 10 peratus bagi servis dan penyelenggaraan sepanjang Oktober. Seramai 1,000 pelanggan pertama yang mendapatkan servis turut menerima kad Touch ’n Go Proton e.MAS 5 secara eksklusif.
PRO-NET kini mempunyai 60 pengedar di seluruh negara dengan sokongan lebih 1,600 tenaga kerja dalam bidang jualan dan perkhidmatan selepas jualan.
Syarikat itu menyasarkan untuk memperluaskan rangkaian kepada lebih 70 cawangan menjelang akhir 2026, termasuk 57 pusat servis dan 14 pusat Body & Paint.
Selain itu, pelanggan yang layak menukar kenderaan boleh menikmati rebat tukar beli tambahan sehingga RM1,000 melalui Carsome dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026.
Pencapaian 40,000 unit dalam tempoh kurang dua tahun itu hadir ketika pasaran EV Malaysia terus berkembang, dengan pengeluar tempatan dan antarabangsa memperluas pilihan kenderaan serta rangkaian sokongan bagi pengguna.
29 kawasan catat IPU tidak sihat, Selangor paling terjejas
KPMG cadang SST lebih mesra perniagaan: Bernama
MEF: Kenaikan gaji minimum perlu ikut kemampuan majikan
Ekonomi Malaysia terus kukuh, S&P kekal penarafan A-
Dr Mahathir masuk IJN untuk pemantauan: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum