Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Krisis geopolitik di Asia Barat yang mengganggu keselamatan laluan perkapalan di Selat Hormuz menyebabkan harga gas dan arang batu melonjak, sekali gus meningkatkan kos penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, kenaikan harga bahan api dunia pada suku kedua dan ketiga 2026 melepasi paras harga asas yang ditetapkan di bawah kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) bagi tempoh kawal selia keempat (RP4), dari 2025 hingga 2027.
Menurut beliau, peningkatan kos bahan api itu diterjemahkan kepada surcaj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) dalam bil elektrik pengguna.
“Lonjakan harga bahan api ini telah menyebabkan peningkatan kos penjanaan elektrik di Semenanjung dan diterjemahkan kepada kadar surcaj AFA dalam bil elektrik pengguna,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai faktor yang mendorong peningkatan mendadak bil elektrik isi rumah serta kesesuaiannya dengan jaminan Suruhanjaya Tenaga (ST).
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, cuaca panas berpanjangan turut menyumbang kepada peningkatan penggunaan elektrik, khususnya bagi penyaman udara.
Pada masa sama, pengurangan penjanaan elektrik daripada sumber hidro akibat keadaan cuaca serta henti tugas berjadual di loji jana kuasa arang batu meningkatkan kebergantungan kepada gas asli cecair (LNG) yang diimport.
Keadaan itu menyebabkan kos pembelian bahan api untuk menjana elektrik lebih tinggi berbanding unjuran asal bagi tempoh RP4.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan mengambil serius peningkatan bil elektrik dan berusaha memastikan kenaikan kos berkenaan tidak ditanggung sepenuhnya oleh rakyat.
Sehubungan itu, kerajaan pada 18 September lalu mengumumkan peluasan perlindungan bil elektrik bagi pengguna domestik di Semenanjung, berkuat kuasa dari 1 September hingga 31 Disember 2026.
Di bawah langkah itu, pengguna yang menggunakan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan, bersamaan anggaran bil RM328 ke bawah, dikecualikan daripada pelarasan surcaj AFA, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta caj peruncitan.
“Langkah ini memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pengguna domestik, bersamaan 90 peratus pengguna domestik di Semenanjung,” katanya.
Menurut Fadillah, perlindungan itu selaras dengan jaminan ST pada April lalu untuk memastikan sekurang-kurangnya 85 peratus pengguna domestik terus dilindungi daripada kesan pelarasan kos elektrik.
Sementara itu, pengguna yang menggunakan elektrik di bawah 1,000 kWj sebulan juga layak menerima rebat menerusi skim insentif cekap tenaga yang diperkenalkan bersama penstrukturan tarif baharu pada 1 Julai 2025.
Insentif itu bertujuan menggalakkan penggunaan elektrik secara lebih cekap, terutama ketika kos bahan api global terus memberi tekanan kepada kos penjanaan tenaga.
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum