Dr Mahathir ziarah pusara isteri dalam suasana hiba

11 jam lalu · Isu semasa

Empat hari selepas kehilangan insan yang menemaninya sepanjang hampir tujuh dekad, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Pusara Negara pagi ini untuk menziarahi pusara isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir tiba kira-kira 11.05 pagi ditemani anggota keluarga sebelum berdiri di sisi pusara Allahyarham dalam suasana penuh hiba.

Beliau berada kira-kira 20 minit di situ. Sepanjang tempoh itu, Dr Mahathir dilihat sebak dan menitiskan air mata ketika mengenang wanita yang sentiasa berada di sisinya sepanjang perjalanan hidup, termasuk ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Kehadiran Dr Mahathir turut menarik perhatian kira-kira 200 orang yang berada di Pusara Negara untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Orang ramai memberikan ruang kepada beliau untuk melalui detik penuh kesedihan itu tanpa gangguan.

Sebelum itu, anak sulung pasangan berkenaan, Marina Mahathir, turut hadir menziarahi pusara ibunya kira-kira 10 pagi.

Antara yang turut datang memberikan penghormatan ialah bekas jaguh badminton negara, Lee Chong Wei, penyanyi Ramli Sarip dan Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin.

Chong Wei berkata antara kenangan paling dekat dengan Allahyarham ialah sikapnya yang sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan atlet negara, terutama selepas mereka menyertai sesuatu kejohanan.

“Apabila beliau datang berjumpa kami di stadium, beliau akan tanya seorang demi seorang. ‘How are you?’ Beliau ingat keperluan setiap atlet,” katanya.

Menurutnya, Dr Siti Hasmah bukan hanya memberikan sokongan ketika atlet mencipta kemenangan, malah turut hadir dengan kata-kata semangat ketika mereka berdepan kekalahan.

“Ketika kami menang, beliau akan hantar mesej kepada kami. Apabila kami kalah, ketika itulah kami lebih memerlukan sokongan dan beliau tidak pernah berputus asa dengan kami.

“Beliau akan telefon atau hantar mesej dan berkata, ‘It’s okay, you try your best, you have played very well’. Jangan berputus asa, teruskan usaha. Itu yang saya tidak akan lupakan sepanjang karier saya sebagai atlet,” katanya.

Beliau berkata menerima berita pemergian Dr Siti Hasmah ketika berada di Nagoya, Jepun selepas selesai menyertai kejohanan di Filipina.

“Saya rasa seluruh pasukan badminton turut bersedih dengan berita itu. Kami hanya mampu mendoakan beliau,” katanya.

Beliau kemudian terus menziarahi pusara Allahyarham bersama isterinya, Wong Mew Choo, sebaik tiba di Malaysia sebagai tanda penghormatan terakhir.

Pemergian Dr Siti Hasmah meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada masyarakat yang mengenali beliau sebagai tokoh wanita negara yang dekat dengan rakyat dan sentiasa memberikan sokongan kepada generasi muda serta atlet Malaysia.

Berita berkaitan
Beri ruang Tun M hadapi kehilangan isteri tercinta: Mukhriz
October 1, 2026· Isu semasa
Dr Mahathir masuk IJN untuk pemantauan: Bernama
September 30, 2026· Isu semasa
Jenazah Dr Hasmah disemadi bersebelahan pusara Datin Seri Endon
September 28, 2026· Isu semasa
Pertemuan terakhir dengan Siti Hasmah jadi kenangan Syed Saddiq
September 28, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Belanjawan 2027: Mahasiswa, IPT diberi perhatian khusus kerajaan
October 1, 2026 · Isu semasa
Dua beradik tokoh korporat direman SPRM, kereta dan motosikal mewah disita
October 1, 2026 · Isu semasa
Video KLIA tular: Shuhaily tampil beri penjelasan
9 jam lalu · Isu semasa
UiTM Holdings ada kelompongan tatakelola: SPRM
11 jam lalu · Isu semasa
KPM hentikan program penceramah bebas susulan dakwaan tular
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok