Belanjawan 2027: Mahasiswa, IPT diberi perhatian khusus kerajaan

October 1, 2026 · Isu semasa

Mahasiswa dan institusi pengajian tinggi (IPT) dijangka menjadi antara kelompok yang diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 yang sedang dimuktamadkan kerajaan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan berkenaan turut mengambil kira keperluan pelbagai sektor dan kelompok masyarakat, termasuk petani, nelayan, Orang Asli serta bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, mahasiswa dan universiti turut berada dalam pertimbangan kerajaan ketika proses penyediaan belanjawan itu.

“Insya-Allah, tentunya mahasiswa dan universiti juga tergolong dalam (belanjawan) itu. Mudah-mudahan saya dapat sampaikan apa yang mampu dalam keterbatasan yang ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara, malam tadi.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir; Timbalannya, Adam Adli Abd Halim serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Aminuddin Hassim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyediaan Belanjawan 2027 memerlukan penelitian terhadap pelbagai permintaan daripada ribuan persatuan, ratusan jabatan dan puluhan kementerian.

Katanya, tuntutan daripada pelbagai sektor perlu dipertimbangkan secara menyeluruh bagi memastikan peruntukan kerajaan dapat disalurkan mengikut keperluan rakyat.

“Semuanya adalah munasabah dan rasional. Daripada sawah-sawah (petani) di Kedah, nelayan di Terengganu, ada Orang Asli, rumah Iban di Sarawak, bidang teknologi, bidang AI, semuanya menuntut perhatian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan kesibukannya menyiapkan Belanjawan 2027 menyebabkan hampir semua program yang dijadualkan minggu ini terpaksa dibatalkan, kecuali beberapa acara tertentu.

Bagaimanapun, beliau memilih untuk menghadiri Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara sebagai tanda penghargaan kepada mahasiswa.

“Saya batalkan semua acara tetapi acara malam ini saya teruskan. Khusus mahasiswa ini, saya rasa saya mahu hadir,” katanya.

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini. Ia merupakan Belanjawan MADANI kelima dan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Kerajaan sebelum ini meletakkan Belanjawan 2027 dalam kerangka meneruskan agenda Ekonomi MADANI, termasuk usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh kesejahteraan rakyat serta mempercepat pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.

Berita berkaitan
KPM hentikan program penceramah bebas susulan dakwaan tular
11 jam lalu· Isu semasa
Internet pedalaman jadi fokus, kerajaan kukuh kerjasama dengan SpaceX: Anwar
24 jam lalu· Isu semasa
MEF: Kenaikan gaji minimum perlu ikut kemampuan majikan
September 30, 2026· Isu semasa
Ekonomi Malaysia terus kukuh, S&P kekal penarafan A-
September 30, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Beri ruang Tun M hadapi kehilangan isteri tercinta: Mukhriz
October 1, 2026 · Isu semasa
Dua beradik tokoh korporat direman SPRM, kereta dan motosikal mewah disita
October 1, 2026 · Isu semasa
Video KLIA tular: Shuhaily tampil beri penjelasan
9 jam lalu · Isu semasa
UiTM Holdings ada kelompongan tatakelola: SPRM
11 jam lalu · Isu semasa
Dr Mahathir ziarah pusara isteri dalam suasana hiba
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok