Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ibu bapa serta individu yang mempunyai maklumat berkaitan dakwaan salah laku seorang penceramah bebas terhadap murid diminta tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata laporan daripada pihak yang terlibat penting bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap dakwaan yang sedang menjadi perhatian.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan serta perlindungan murid di sekolah.
“Kita tidak kompromi soal keselamatan anak-anak di sekolah. Semua program yang melibatkan beliau sudah dihentikan serta-merta bagi memberi laluan kepada siasatan yang sedang kita laksanakan.
“Kita pandang serius dan kita minta anak-anak ataupun mangsa yang terlibat tampil kepada pihak berkuasa dan membuat laporan. Ini sangat penting,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek KPM oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Alor Gajah bagi Program Pembinaan Bangunan Modular dan IBS melibatkan pembinaan tiga bilik darjah tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, hari ini.
Majlis itu turut disaksikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan.
Fadhlina berkata, ketiadaan laporan rasmi kepada pihak berkuasa boleh menyukarkan proses siasatan dan tindakan lanjut terhadap dakwaan berkenaan.
“Kalau kita tidak ada laporan daripada pihak berkuasa, ia akan menyukarkan kita dari segi tindakan dan kita tidak mahu perkara ini terus berlangsung dalam suasana sekolah.
“Kita mahu sekolah kita betul-betul selamat. Dalam aspek ini, kita minta semua pihak sekolah dan pentadbir mengambil perkara ini secara serius,” katanya.
Sebelum ini, Fadhlina memaklumkan semua program melibatkan penceramah bebas berkenaan diarahkan dihentikan serta-merta bagi memberi ruang kepada siasatan penuh susulan beberapa dakwaan yang tular di media sosial.
Langkah itu diambil bagi memastikan aspek keselamatan murid terus menjadi keutamaan sementara pihak berkaitan menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.
KPM sebelum ini turut menegaskan sebarang dakwaan melibatkan keselamatan dan kebajikan murid perlu diberi perhatian serius serta disalurkan melalui saluran rasmi bagi membolehkan tindakan berdasarkan proses undang-undang diambil.
Pempengaruh digesa jangan eksploitasi isu 3R demi populariti: Yuneswaran
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
Belanjawan 2027 dijangka pacu pelaburan berkualiti: MIDA
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum