Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistem WhatsApp sehingga menyebabkan sebahagian aktiviti pengguna yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan, sekali gus membawa kepada penggantungan akaun.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata perkara itu dimaklumkan Meta susulan isu penggantungan akaun WhatsApp yang sebelum ini dikemukakan kepada syarikat berkenaan untuk tindakan.
Menurut MCMC, kesilapan teknikal itu dikenal pasti dalam lebih separuh daripada kes bagi kumpulan pertama yang dikemukakan kepada Meta.
“Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistemnya sehingga aktiviti pengguna yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan,” menurut MCMC dalam kenyataan media hari ini.
MCMC berkata Meta memaklumkan masalah teknikal itu telah ditangani pada penghujung September, manakala akaun sah yang terjejas telah dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan.
Meta turut mengesahkan tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp.
Bagaimanapun, bagi kes lain, Meta menjelaskan tindakan penggantungan akaun boleh berlaku atas beberapa faktor termasuk penggunaan nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan sistem keselamatan WhatsApp.
Laporan daripada pengguna juga dinilai dalam proses berkenaan, namun ia bukan satu-satunya asas bagi tindakan penggantungan akaun.
Bagi akaun perniagaan, Meta memaklumkan penghantaran mesej tanpa persetujuan penerima atau dalam jumlah tinggi, terutama kepada individu yang tidak berada dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.
Sehubungan itu, pengguna WhatsApp bagi tujuan perniagaan disaran mendapatkan persetujuan penerima sebelum menghantar mesej secara pukal.
MCMC turut meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan akaun supaya pengguna menerima pengesahan, maklumat mengenai status semakan serta penjelasan mengenai tindakan yang diambil dengan lebih jelas dan pantas.
Pengguna yang terjejas disaran menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp untuk mendapatkan semula akaun masing-masing.
MCMC berkata pihaknya akan terus memantau penyelesaian kes yang masih tertunggak serta memastikan penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan semula akaun.
“Tindakan kawal selia selanjutnya akan dipertimbangkan sekiranya langkah Meta didapati tidak memadai,” menurut kenyataan itu.
Isu penggantungan akaun WhatsApp sebelum ini mendapat perhatian selepas pengguna mendakwa akaun mereka disekat walaupun tidak melakukan pelanggaran terhadap peraturan platform.
Perkembangan terbaharu ini memberi penjelasan tambahan mengenai sebahagian kes berkenaan, khususnya apabila Meta mengesahkan terdapat kesilapan teknikal yang menyebabkan akaun pengguna sah terjejas.
Pengguna Waze dedah paparan data yang disimpan, cetus persoalan privasi
Fahmi umum bantuan untuk dua wartawan kemalangan
Dalang kapal bawa dadah RM785 juta dikenal pasti, polis buru suspek
Sultan Selangor: Teguran demi rakyat, bukan pertelingkahan
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum