Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, meninjau pelaksanaan Wi-Fi di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM, Nibong Tebal.
Capaian Internet di Universiti Sains Malaysia (USM) diperkukuh menerusi penambahan ratusan titik akses Wi-Fi berkapasiti tinggi bagi memberi pengalaman pembelajaran digital lebih baik kepada mahasiswa dan warga kampus.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, hari ini meninjau pelaksanaan Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Wi-Fi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM, Nibong Tebal.
Projek itu dilaksanakan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meningkatkan kapasiti serta kualiti capaian Internet di institusi pendidikan awam.
Di USM, sebanyak 822 titik akses tambahan menerusi Projek Wi-Fi IPTA Fasa 3 siap dipasang pada 18 September lalu, lima hari lebih awal daripada sasaran asal 23 September.
Daripada jumlah itu, sebanyak 740 titik akses dipasang di Kampus Nibong Tebal, manakala masing-masing 41 titik akses di USM IPPT Bertam dan USM Bukit Jambul.
Penambahan itu melengkapkan 1,103 titik akses yang disediakan menerusi Fasa 2 pada Julai 2025, menjadikan keseluruhan 1,925 titik akses Wi-Fi beroperasi di USM setakat 30 September lalu.
Dalam perkembangan sama, kerja pemasangan tambahan sebanyak 4,150 titik akses di Kampus Induk USM sedang dilaksanakan dan disasarkan siap menjelang 30 Oktober ini.
Kemudahan Wi-Fi berkapasiti tinggi itu penting susulan peningkatan penggunaan perkhidmatan digital dalam aktiviti pembelajaran, terutama di dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar dan kolej kediaman.
Pelaksanaan projek di USM juga menjadi sebahagian daripada usaha memperluas capaian Wi-Fi di Pulau Pinang yang melibatkan 32 lokasi, termasuk IPTA serta institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Setakat 29 September lalu, sebanyak 24 lokasi atau 75 peratus daripada keseluruhan projek di Pulau Pinang sudah siap, dengan anggaran pelaburan RM61.5 juta melalui dana USP.
Di peringkat nasional pula, projek Wi-Fi berkenaan melibatkan 538 lokasi membabitkan IPTA serta institusi latihan di bawah MARA dan KESUMA.
Daripada jumlah itu, 408 lokasi atau 76 peratus sudah siap setakat 30 September lalu, dengan keseluruhan pelaburan dianggarkan RM634.1 juta.
Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, institusi pendidikan serta penyedia perkhidmatan bagi memperluas capaian Internet berkualiti secara berperingkat.
MCMC dalam kenyataannya berkata pelaburan menerusi USP bertujuan memberi manfaat secara langsung kepada mahasiswa, tenaga pengajar dan komuniti pendidikan melalui capaian Internet yang lebih stabil serta pantas.
Usaha itu turut dilihat menyokong pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi digital negara.
Pengguna Waze dedah paparan data yang disimpan, cetus persoalan privasi
Fahmi umum bantuan untuk dua wartawan kemalangan
Dalang kapal bawa dadah RM785 juta dikenal pasti, polis buru suspek
Sultan Selangor: Teguran demi rakyat, bukan pertelingkahan
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum