Jerebu.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan sekolah di kawasan yang terjejas jerebu ditutup sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada antara 150 hingga 180 secara berpanjangan.
Baginda bertitah, aspek keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar perlu menjadi keutamaan ketika keadaan kualiti udara semakin membimbangkan di beberapa kawasan negara.
“Langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi yang berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook.
Sultan Ibrahim turut menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan, termasuk memakai pelitup muka dan mengurangkan aktiviti luar ketika keadaan jerebu berterusan.
Baginda turut meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian serius terhadap keselamatan dan kesihatan murid, terutama di kawasan yang merekodkan bacaan IPU tinggi.
Setakat jam 3 petang, sebanyak 38 kawasan seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, dengan Segamat, Johor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 190, menghampiri tahap sangat tidak sihat.
Keadaan sama turut dilaporkan di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Melaka, Perak, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah, selain Kuala Lumpur serta Putrajaya.
Situasi jerebu ketika ini turut menyebabkan beberapa negeri mengambil langkah awal bagi mengurangkan risiko kepada murid dan guru.
Di Johor, kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari susulan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berikutan kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri itu.
Jerebu yang melanda beberapa kawasan negara dipercayai berkait dengan faktor cuaca kering dan keadaan atmosfera yang menyebabkan pencemaran udara terperangkap, sekali gus meningkatkan bacaan IPU.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar ketika bacaan IPU meningkat.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Belanjawan 2027: RM5 bilion perkukuh internet, RM142 juta untuk NADI
MCMC siasat individu didakwa persenda perkataan dalam al-Quran
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum