Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bagi membincangkan langkah bersama menangani masalah jerebu yang semakin membimbangkan di rantau ini.
Anwar berkata, Malaysia sejak beberapa minggu lalu sudah menawarkan kerjasama kepada Indonesia dan negara ASEAN lain bagi menangani kemerosotan kualiti udara.
Menurutnya, Menteri Luar dan Menteri Alam Sekitar juga sudah menghubungi rakan sejawat masing-masing bagi menyelaras usaha menangani keadaan berkenaan.
“Kita menyatakan sejak beberapa minggu yang lalu kesediaan kita untuk memberikan apa saja kerjasama kerana tahap ini membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Tinjauan Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan.
Beliau berkata, Malaysia turut meningkatkan operasi pembenihan awan membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta beberapa agensi berkaitan sebagai antara usaha mengurangkan kesan jerebu.
Anwar pada masa sama meminta Menteri Luar menghubungi Setiausaha ASEAN bagi mengadakan satu lagi mesyuarat bersama menteri yang mengendalikan portfolio alam sekitar negara anggota Asean.
“Jadi kita harap dengan langkah-langkah ini keadaan dapat diperbaiki, tetapi sekarang ini memang membimbangkan,” katanya.
Krisis jerebu ketika ini turut memberi kesan kepada sektor pendidikan apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan sekolah di kawasan terjejas ditutup susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 150 hingga 180 yang berpanjangan.
Baginda menegaskan aspek keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar perlu diberikan keutamaan ketika keadaan kualiti udara merosot.
Setakat jam 3 petang, sebanyak 38 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat. Segamat, Johor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 190, menghampiri kategori sangat tidak sihat.
Selain Johor, beberapa negeri turut terjejas termasuk Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Melaka, Perak, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah, selain Kuala Lumpur serta Putrajaya.
Semalam, Johor turut mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari susulan kemerosotan kualiti udara dan keadaan jerebu di negeri itu.
Perkembangan itu meningkatkan keperluan kepada penyelarasan serantau, terutama antara Malaysia, Indonesia dan negara Asean lain, bagi menangani punca serta kesan jerebu yang sering melanda rantau ini.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Belanjawan 2027: RM5 bilion perkukuh internet, RM142 juta untuk NADI
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum