Nik Nazmi Nik Ahmad.
Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan dirinya antara dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam insiden berkaitan kes khalwat di Petaling Jaya, Rabu lalu.
Pemimpin Parti Bersama itu turut memohon maaf kepada isteri, keluarga, parti serta penyokongnya susulan kejadian berkenaan yang disifatkan sebagai kesilapan pertimbangan.
Dalam kenyataan pada Sabtu, Nik Nazmi menjelaskan beliau pada awalnya menghadiri perbincangan bersama beberapa rakan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum mereka memutuskan untuk meneruskan perbincangan di Petaling Jaya bagi meneliti bahan berkaitan projek yang dibincangkan.
Bagaimanapun, beliau mengakui hanya dirinya dan seorang wanita berada di lokasi ketika pegawai JAIS tiba.
“Pada masa pegawai JAIS tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan.
“Seperti yang saya maklumkan juga kepada pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka,” katanya.
Nik Nazmi turut menegaskan tidak mahu memanjangkan isu berkenaan dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi melancarkan sebarang proses perundangan.
Beliau berkata, permohonan maaf itu turut ditujukan kepada parti Bersama kerana kejadian berkenaan memberi kesan kepada imej parti serta mengecewakan ahli dan penyokongnya.
“Saya juga memohon maaf kepada parti Bersama kerana mengecewakan ahli-ahli dan penyokong, memandangkan isu ini menjejaskan parti dan akan menerima apa jua keputusan parti,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak menghormati proses perundangan dan tidak membuat perbicaraan terhadap isu berkenaan menerusi media.
Sebelum ini, Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan penahanan dua individu bagi membantu siasatan kes khalwat membabitkan seorang figura awam di sekitar daerah Petaling.
Tangkapan dilaporkan dilakukan sekitar jam 6 petang, dengan kes berkenaan mendapat perhatian susulan penglibatan seorang pemimpin politik.
Nik Nazmi sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa dan kini bersama Parti Bersama selepas meninggalkan PKR. Beliau turut pernah memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan.
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
Abang Johari panggil sidang media khas, DUN Sarawak bakal bubar?
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum