Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
PKR menuntut Presiden Parti Pejuang, Mukhriz Mahathir menarik balik dakwaan mengaitkan parti itu dengan cadangan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang didakwa dibentangkan dalam konvensyen PKR pada Ogos lalu.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata slaid yang dikongsikan Mukhriz menerusi media sosial itu tidak pernah dibentangkan dalam mana-mana kongres atau konvensyen parti berkenaan.
Beliau menegaskan, PKR juga tidak menyediakan slaid tersebut dan meminta Mukhriz mengemukakan bukti sekiranya benar bahan berkenaan pernah dibentangkan dalam program rasmi parti.
“Sekiranya slaid tersebut benar-benar pernah dibentangkan seperti yang didakwa, sudah tentu terdapat rekod, rakaman atau laporan media yang boleh dijadikan bukti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Fuziah, hasil semakan PKR mendapati imej berkenaan mula dimuat naik menerusi akaun Facebook menggunakan nama Arman Ashaari pada 24 September lalu.
Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Mukhriz menyebarkan bahan berkenaan tanpa terlebih dahulu memastikan kesahihannya.
Katanya, penggunaan slaid itu untuk mengaitkan PKR dengan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap PN merupakan satu bentuk fitnah terhadap parti berkenaan.
“Mukhriz bukan orang baharu dalam politik. Amat mendukacitakan apabila seorang pemimpin politik berpengalaman seperti beliau menyebarkan sesuatu bahan tanpa usul periksa terlebih dahulu.
“Jika beliau mempunyai bukti sahih, kemukakan rekod pembentangan asal,” katanya.
Fuziah turut menafikan PKR terbabit dalam aduan yang membawa kepada tindakan RoS terhadap PN, sambil menjelaskan isu berkenaan membabitkan parti komponen dalam gabungan itu sendiri.
Sehubungan itu, beliau menggesa Mukhriz menarik balik dakwaan berkenaan dan memohon maaf secara terbuka kepada PKR kerana menyebarkan bahan yang mengaitkan parti itu dengan keputusan RoS.
Isu berkenaan timbul selepas RoS mengambil tindakan terhadap PN, sekali gus mencetuskan pertikaian dalam kalangan parti yang menganggotai gabungan pembangkang itu.
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
Adly: PH tidak tanding semua kerusi di Melaka
PRN Melaka: PAS sedia guna lambang bulan selepas PN dibatalkan RoS
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum