Pengharaman aplikasi Waze.
Keputusan kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze disifatkan sebagai langkah mencerminkan pendirian tegas Malaysia terhadap penindasan rejim Zionis di Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, berkata tindakan itu wajar diperluas kepada produk dan perkhidmatan lain yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai langkah positif dalam menunjukkan solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin, selain mendesak tindakan lebih menyeluruh bagi mengurangkan penguasaan produk Israel dalam pasaran tempatan.
“Satu langkah yang sangat baik, yang menunjukkan komitmen kita terhadap apa yang sedang berlaku di bumi Gaza, penolakan terhadap Israel dan juga produk-produk lain yang dikeluarkan oleh negara haram Israel,” katanya menurut laporan Bernama.
Menurutnya, usaha itu perlu dilaksanakan secara lebih komprehensif sehingga produk terbabit tidak lagi mendapat tempat dalam pasaran Malaysia.
Muhammad Nadir turut mencadangkan kerajaan mempergiat usaha diplomatik bagi menggalakkan sekatan pergerakan terhadap warga Israel, termasuk individu yang memiliki dua kewarganegaraan.
Beliau berkata Malaysia mempunyai kedudukan strategik sebagai kuasa pertengahan untuk memainkan peranan sebagai pengantara dan perunding di peringkat antarabangsa, termasuk menggerakkan tindakan bersama negara serantau bagi menekan Israel.
Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata larangan penggunaan Waze perlu dilihat dalam konteks lebih luas, khususnya berkaitan keselamatan siber, perlindungan data dan kepentingan strategik negara.
Menurutnya, aplikasi digital bukan sekadar alat memudahkan urusan harian, malah berpotensi mengumpul data lokasi serta corak pergerakan pengguna yang boleh memberi kesan kepada keselamatan individu, organisasi dan negara.
“Kerajaan perlu menjelaskan asas penilaian keselamatan yang membawa kepada larangan itu agar keputusan berkenaan menjadi sebahagian daripada kerangka keselamatan digital yang menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menegaskan penilaian risiko keselamatan perlu diperluas kepada semua aplikasi dan platform digital yang digunakan dalam urusan rasmi perkhidmatan awam, tanpa mengira negara asal atau jenama.
“Jika keselamatan data menjadi asas utama larangan Waze, prinsip yang sama hendaklah diterapkan kepada semua penyedia perkhidmatan digital tanpa mengira negara asal, jenama atau kepentingan komersial mereka,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan melarang penjawat awam menggunakan Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada risiko penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd sebagai pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Larangan itu turut membuka perbincangan lebih luas mengenai keselamatan data digital, penggunaan teknologi dalam sektor awam dan pendekatan Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel.
MCMC siasat Facebook gagal sekat video serangan guru: Fahmi
Peminjam PTPTN bergaji RM2,500 hanya perlu bayar RM50 sebulan: Adam Adli
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
Tiada syarikat malaysia terbabit pembakaran hutan Indonesia: Fahmi
Kes cabul anak pegawai kanan polis: Arkitek bergelar Datuk dihadapkan ke mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum