Tuan Ibrahim Tuan Man.
PAS bersedia menggunakan lambang bulan miliknya sendiri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya rayuan Perikatan Nasional (PN) terhadap pembatalan pendaftarannya ditolak.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan penggunaan lambang pada pilihan raya itu bergantung kepada hasil rayuan yang akan dikemukakan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan kepada Menteri Dalam Negeri.
Menurutnya, rayuan berkenaan dibuat mengikut peruntukan undang-undang susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran PN.
“Sekiranya permohonan (rayuan) PN itu ditolak, maka penggunaan logo PAS akan digunakan (pada PRN Melaka) tak lama lagi,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, persiapan menghadapi PRN Melaka sudah berjalan, termasuk gerak kerja parti di seluruh negeri.
Beliau menegaskan, pembatalan pendaftaran PN tidak akan menjejaskan kerjasama antara parti komponen gabungan itu dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Semua komponen akan bergerak sebagai sebuah kesepakatan, bukan bersendirian. Bahkan jentera bersama seluruh parti komponen akan digerakkan di semua DUN yang dipertandingkan,” katanya.
Sebelum ini, RoS memaklumkan pembatalan pendaftaran PN dibuat di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti dokumen dan penjelasan yang dikemukakan gabungan itu pada 12 Oktober lalu.
Keputusan itu dibuat selepas RoS mendapati penjelasan PN gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis bertarikh 22 September lalu.
Notis berkenaan memberi peluang kepada PN mengemukakan penjelasan dan representasi sebelum keputusan muktamad dibuat.
RoS memaklumkan alasan yang dikemukakan PN tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran gabungan itu.
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum