BDS Malaysia.
BDS Malaysia menyambut baik arahan kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze serta gesaan kepada orang ramai supaya menghentikan penggunaan aplikasi berkenaan, sambil mendesak tindakan sama diambil terhadap Amazon Web Services (AWS).
Pertubuhan itu menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan yang disifatkan penting bagi melindungi keselamatan dan kedaulatan negara daripada sebarang risiko penyalahgunaan data oleh syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Menurut BDS Malaysia, Waze yang berasal dari Israel berpotensi menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan negara, khususnya apabila aplikasi itu digunakan oleh penjawat awam dalam urusan rasmi kerajaan.
“BDS Malaysia menyambut baik arahan kerajaan Malaysia untuk melarang penggunaan Waze oleh penjawat awam serta gesaan kepada orang ramai supaya berhenti menggunakan aplikasi itu.
“Kami menyokong sepenuhnya arahan ini yang dikeluarkan demi mengelakkan keselamatan dan kedaulatan negara daripada terjejas oleh Waze, sebuah syarikat berpangkalan di Israel,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, BDS Malaysia mengingatkan kerajaan supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada Waze, sebaliknya mengambil tindakan terhadap AWS yang didakwa mempunyai penglibatan dengan Israel menerusi projek Nimbus.
Pertubuhan itu merujuk kenyataan bersama 23 NGO pada 6 Oktober 2024 yang membangkitkan isu perkhidmatan pengkomputeran awan AWS dan projek Nimbus.
Menurut BDS Malaysia, AWS didakwa bersubahat dengan Israel dalam melakukan genosid di Gaza melalui penglibatannya dalam projek berkenaan.
“Sekiranya kerajaan kekal konsisten dengan perjuangan pembebasan Palestin, AWS tidak sepatutnya dialu-alukan di Malaysia,” katanya.
BDS Malaysia turut memberi amaran pemberian projek kepada AWS berpotensi membolehkan syarikat itu mengakses data sensitif kerajaan Malaysia, sekali gus menimbulkan risiko terhadap keselamatan negara.
“Ini akan menggagalkan tujuan larangan penggunaan Waze,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan menggesa kerajaan menamatkan semua hubungan dan kontrak dengan AWS bagi memastikan pendirian terhadap keselamatan negara dan perjuangan Palestin dilaksanakan secara konsisten.
BDS Malaysia menyifatkan kegagalan mengambil tindakan terhadap AWS sebagai satu percanggahan dalam pendekatan kerajaan.
“Kerajaan akan dilihat bimbang terhadap nyamuk tetapi mengabaikan gajah,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan Malaysia pada 21 Oktober mengumumkan larangan penggunaan Waze oleh penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi atas kebimbangan keselamatan data dan kaitan aplikasi itu dengan Israel.
Waze dibangunkan di Israel sebelum diambil alih Google pada 2013. Aplikasi itu menggunakan data trafik masa nyata yang dikumpulkan daripada pengguna bagi menyediakan maklumat perjalanan dan laluan alternatif.
BDS Malaysia pula merupakan sebahagian daripada gerakan Boikot, Pelupusan dan Sekatan (BDS) yang memperjuangkan hak rakyat Palestin melalui tekanan ekonomi terhadap Israel dan entiti yang didakwa menyokongnya.
Tiada syarikat malaysia terbabit pembakaran hutan Indonesia: Fahmi
Kes cabul anak pegawai kanan polis: Arkitek bergelar Datuk dihadapkan ke mahkamah
Belanjawan 2027: STR, SARA RM16 bilion kekalkan kuasa beli rakyat
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum