Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai menghentikan penyebaran video insiden membabitkan senjata berbahaya di sebuah sekolah di Kuching, Sarawak.
MCMC turut mengingatkan pengamal media supaya tidak memuat naik atau berkongsi rakaman berkenaan kerana boleh menjejaskan privasi, maruah dan emosi kanak-kanak yang terbabit serta keluarga mereka.
“Penyebaran rakaman yang memaparkan unsur keganasan, khususnya melibatkan kanak-kanak, boleh menjejaskan privasi, maruah dan kesejahteraan emosi pihak terlibat serta keluarga mereka,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.
Menurut suruhanjaya itu, pendedahan identiti kanak-kanak boleh melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
MCMC turut memberi amaran penyebaran kandungan terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), sekiranya memenuhi unsur kesalahan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.
Dalam perkembangan sama, MCMC sedang bekerjasama dengan penyedia platform media sosial untuk membendung penyebaran video itu, termasuk mengambil langkah menurunkan kandungan berkaitan.
Individu yang sudah memuat naik atau berkongsi rakaman berkenaan diminta memadamkannya segera, manakala pengguna media sosial lain diingatkan supaya tidak menyebarkannya semula.
MCMC berkata, tindakan itu penting bagi melindungi privasi kanak-kanak serta mengelakkan penyebaran video daripada mengganggu siasatan pihak berkuasa.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menjadikan insiden sensitif membabitkan kanak-kanak sebagai bahan tular, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum