Isu MyKad tular dimiliki warga asing, JPN siasat dakwaan

1 jam lalu · Isu semasa

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan seorang lelaki berasal dari Bangladesh memperoleh kewarganegaraan Malaysia pada 2025 melalui proses naturalisasi mengikut peruntukan undang-undang.

JPN dalam kenyataan hari ini menjelaskan lelaki berkenaan mendapat kewarganegaraan di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan selepas melalui proses dan prosedur yang ditetapkan.

“Lelaki itu juga merupakan suami kepada seorang wanita warganegara Malaysia dan telah memegang status Penduduk Tetap (PR) sejak 2009,” katanya.

Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan tular di media sosial yang mempersoalkan kesahihan MyKad serta status kewarganegaraan dua individu yang dipercayai warga asing.

Isu berkenaan mencetuskan perbincangan selepas seorang pengguna platform Threads berkongsi tangkap layar dan mendakwa menemui seorang pesakit yang dipercayai warga asing, memakai purdah serta tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris, namun didakwa memiliki pasport Malaysia.

Pengguna itu turut mempersoalkan maklumat pada kad pengenalan wanita berkenaan yang menunjukkan tahun kelahiran 2002, sedangkan penampilannya didakwa kelihatan seperti individu berusia 40-an atau lebih.

Persoalan turut timbul berhubung maklumat tempat tinggal dan rekod pengundi wanita itu yang didakwa menunjukkan alamat di Selangor, Terengganu dan Pahang.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan belum boleh dianggap sebagai bukti berlakunya penyelewengan dokumen atau pemberian kewarganegaraan secara tidak sah.

Dalam perkembangan berkaitan, JPN mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap kes kedua membabitkan seorang wanita yang didakwa berasal dari Pakistan.

Menurut jabatan itu, penelitian sedang dilakukan berdasarkan rekod rasmi dan fakta berkaitan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

JPN turut mengakui memahami keraguan dan kebimbangan orang ramai berhubung isu kewarganegaraan serta kesahihan dokumen pengenalan diri yang tersebar di media sosial.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau persoalan berkaitan status kewarganegaraan diminta mengemukakan aduan melalui saluran rasmi bagi membolehkan semakan sewajarnya dijalankan.

JPN juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi individu secara terbuka di media sosial, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berdasarkan bukti dan rekod yang sah.

Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk memastikan urusan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti, berintegriti serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

Berita berkaitan
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
October 26, 2026· Isu semasa
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
October 24, 2026· Isu semasa
Isu video lama tular, JPN jelaskan kahwin sivil bukan ritual agama
October 18, 2026· Isu semasa
Kerajaan perhalusi reformasi pemisahan kuasa AG dan Pendakwa Raya: Fahmi
October 16, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
October 28, 2026 · Isu semasa
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
October 28, 2026 · Isu semasa
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
October 28, 2026 · Isu semasa
Bekas polis dakwa jadi mangsa kekerasan Shuhaily 11 tahun lalu
1 jam lalu · Isu semasa
Op Viking: Polis sita aset RM409 juta berkait mafia korporat, 70 individu dipanggil
1 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok