Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merasmikan program Pelajar Pemacu Negara – Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan, hari ini. Foto kredit - Bernama
Sebanyak 47,412 kandungan berkaitan buli siber dikenal pasti dan diminta diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak Januari hingga 27 Oktober lalu, dengan platform TikTok merekodkan jumlah tertinggi iaitu 81 peratus.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Facebook pula berada di tempat kedua dengan menyumbang 12 peratus daripada keseluruhan kandungan buli siber yang dikenal pasti menerusi aduan orang ramai.
“Dari awal tahun hingga semalam, kandungan bersifat buli siber yang dikenal pasti oleh MCMC adalah berdasarkan aduan awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pelajar Pemacu Negara – Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan, hari ini.
Program berkenaan disertai 336 pelajar daripada 122 sekolah menengah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata MCMC sedang meneliti penyalahgunaan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp dan Telegram, khususnya ciri penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption) yang membolehkan komunikasi dilakukan dalam kumpulan tertutup.
Menurutnya, terdapat keadaan apabila kegiatan buli bermula atau semakin berleluasa dalam kumpulan peribadi yang sukar dipantau oleh pihak luar.
“Saya juga sedikit risau kerana ada platform ataupun mod komunikasi tertentu seperti aplikasi WhatsApp, Telegram yang bersifat *end-to-end encrypted* membolehkan kumpulan-kumpulan tertentu diwujudkan tanpa pengetahuan khalayak umum.
“Bukan public groups tetapi private groups dan kadangkala isu-isu buli ini bermula ataupun berleluasa berlaku dalam kumpulan-kumpulan seperti ini,” katanya lagi.
Beliau berkata penelitian itu turut merangkumi kemungkinan penyalahgunaan platform berkenaan untuk aktiviti menyalahi undang-undang, termasuk penjualan barangan terlarang seperti dadah.
Fahmi menjelaskan penelitian terhadap platform komunikasi peribadi itu masih berjalan dan belum dilaksanakan ketika ini.
Walaupun platform berkenaan tidak termasuk dalam skop Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), kerajaan tetap memberi perhatian berdasarkan kesan penggunaannya terhadap masyarakat.
“Walaupun tidak termasuk dalam ONSA, kita akan tetap beri penelitian berdasarkan kesan yang dibawa platform itu,” katanya.
Beliau berkata perhatian terhadap isu berkenaan turut mengambil kira perbincangan dengan pihak polis serta aduan orang ramai mengenai kesan negatif penggunaan platform komunikasi terbabit.
Buli siber merangkumi perbuatan mengganggu, mengugut, menghina atau memalukan individu melalui platform digital.
Aduan berkaitan kandungan sedemikian menjadi antara asas tindakan MCMC meminta penyedia platform menurunkan kandungan yang dikenal pasti, selain penelitian terhadap penyalahgunaan aplikasi komunikasi untuk kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum