Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar.
Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menuding jari kepada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu projek jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, Zahid sepatutnya memberikan penjelasan terlebih dahulu mengenai komitmen perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang didakwa melebihi peruntukan asal sehingga menyebabkan tunggakan bayaran kepada kontraktor mencecah RM1.05 bilion.
Menurut Mahfuz, penjelasan Menteri Kewangan II sebelum ini menyatakan projek sedia ada tidak dibatalkan, sebaliknya pelaksanaan Surat Setuju Terima (SST) baharu ditangguhkan sementara tunggakan diselesaikan.
Malah, katanya, kerajaan turut meluluskan tambahan RM500 juta bagi membantu menangani tunggakan berkenaan.
“Jadi, apa sebenarnya yang Zahid mahu rakyat percaya? Kalau orang lain menahan kita daripada menambah hutang, jangan pula kita menuduhnya menghalang kemajuan,” katanya dalam kenyataan.
Mahfuz menyifatkan tindakan menyalahkan MOF tanpa menjelaskan punca sebenar tunggakan itu seolah-olah seseorang yang berbelanja melebihi kemampuan, kemudian menyalahkan akauntan apabila diminta menjelaskan kedudukan kewangan.
Beliau menegaskan Zahid perlu menjawab bagaimana komitmen perbelanjaan KKDW boleh melebihi peruntukan asal sehingga kontraktor terpaksa menanggung tunggakan berjumlah RM1.05 bilion.
Katanya, persoalan itu tidak sepatutnya dialihkan dengan menjadikan MOF sebagai sasaran kritikan politik kerana rakyat berhak mengetahui punca masalah serta pihak yang bertanggungjawab.
Mahfuz turut mengingatkan Zahid kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan ketika ini, justeru tidak wajar bertindak seolah-olah tidak mempunyai kaitan dengan pentadbiran yang sedang memerintah.
“Apabila mendapat kuasa, mengaku kerajaan ini milik bersama. Apabila timbul masalah, tiba-tiba mahu membasuh tangan dan menuding jari kepada rakan sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan Zahid berhak mengkritik keputusan kerajaan, namun kritikan itu perlu berasaskan fakta tepat dan tidak menimbulkan tanggapan projek sedia ada dibatalkan sekiranya perkara itu tidak selari dengan penjelasan MOF.
Menurutnya, kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan pengurusan kewangan KKDW.
“Rakyat tidak menilai pemimpin berdasarkan siapa paling kuat menuduh, tetapi siapa paling berani menjawab.
“Kalau berani menuding jari kepada MOF, beranilah juga menjawab tentang RM1.05 bilion tunggakan KKDW,” katanya.
PRN Melaka: Adam gesa beri peluang calon muda buktikan kemampuan
Armada Bersatu gesa kaji semula pemberhentian hampir 100 pekerja Utusan, Kosmo!
PRN Melaka: Calon Gen-Z PH anggap kecaman sebagai lumrah politik
PRN Melaka: PH gesa SPR siasat dakwaan sogokan bakul makanan di DUN Rim
Kes hasutan Muhyiddin: Perbicaraan ditangguh, representasi baharu dikemuka
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum