Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan mengemukakan representasi baharu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memohon pertuduhan menghasut terhadapnya digugurkan berhubung kenyataan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Ogos 2024.
Peguamnya, Amer Hamzah Arshad berkata, representasi itu akan dikemukakan esok selepas pihak pembelaan meneliti warkah yang diterima daripada pihak istana semalam.
Beliau memaklumkan perkembangan terbaharu itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika prosiding kes berkenaan yang sepatutnya memulakan perbicaraan hari ini.
Menurut Amer Hamzah, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu telah diterima menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 26 Oktober lalu.
“Tanpa memperincikan secara lanjut, kami ingin memaklumkan kepada mahkamah terdapat perkembangan baharu berhubung kes ini susulan anak guam kami diterima menghadap pihak istana pada 26 Oktober lalu.
“Semalam, kami menerima satu warkah daripada istana dan berdasarkan perkembangan itu, kami ingin mengemukakan representasi baharu kepada Peguam Negara,” katanya.
Beliau turut memohon mahkamah memberikan masa kepada pihak pendakwaan untuk meneliti dan mempertimbangkan representasi berkenaan.
Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi yang mengetuai pasukan pendakwaan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Aslam Zainuddin kemudian menetapkan 3 Disember ini bagi mendapatkan perkembangan terbaharu mengenai representasi berkenaan.
Susulan perkembangan itu, tarikh perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan pada 3, 4, 5, 11, 12 dan 13 November dilapangkan.
Untuk rekod, Muhyiddin mengaku tidak bersalah pada 27 Ogos 2024 di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu antara jam 10.30 malam hingga 11.50 malam pada 14 Ogos 2024.
Pertuduhan itu berkaitan kenyataannya mengenai dakwaan tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun mendakwa memperoleh sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen.
Pada 27 November 2024, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan Muhyiddin untuk memindahkan perbicaraan kes itu dari Mahkamah Sesyen Gua Musang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Armada Bersatu gesa kaji semula pemberhentian hampir 100 pekerja Utusan, Kosmo!
PRN Melaka: Calon Gen-Z PH anggap kecaman sebagai lumrah politik
PRN Melaka: PH gesa SPR siasat dakwaan sogokan bakul makanan di DUN Rim
Kewangan Melaka makin tertekan, belanja negeri naik tiga kali ganda: Rafizi
Calon Ketua Menteri? Adly mahu fokus PRN dahulu
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum