Isu beras.
Rakyat tidak perlu membuat pembelian panik atau menyimpan stok makanan secara berlebihan susulan persediaan negara menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan kemungkinan fenomena Super El Nino.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, bekalan makanan negara termasuk beras dan telur ketika ini masih mencukupi serta berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, situasi semasa belum memerlukan orang ramai mengambil langkah menyimpan bekalan makanan dalam kuantiti besar sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan akibat perubahan cuaca.
“Setakat ini kita tidak perlu panik apa-apa. Tidak perlu beli beras atau telur untuk simpan banyak-banyak.
“Insya-Allah kalau sampai peringkat itu kita akan beritahu tetapi setakat ini keadaan makanan masih stabil,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi di Bendang Belukar, hari ini.
Mohamad turut memberi jaminan bekalan beras negara masih mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna meskipun negara sedang membuat persediaan menghadapi kemungkinan kesan perubahan cuaca terhadap sektor agromakanan.
“Cukup. Masih ada. Beras pun cukup, insya-Allah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai persediaan stok makanan bagi menghadapi MTL.
Beliau turut menjelaskan kerajaan akan memaklumkan kepada rakyat sekiranya berlaku perubahan ketara terhadap kedudukan bekalan makanan negara sehingga memerlukan tindakan tertentu.
Untuk rekod, Monsun Timur Laut lazimnya membawa hujan lebat berterusan, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, selain meningkatkan risiko banjir dan menjejaskan aktiviti pertanian serta rantaian bekalan makanan.
Pada masa sama, kebimbangan terhadap kemungkinan fenomena Super El Nino turut meningkatkan perhatian terhadap risiko cuaca ekstrem yang boleh memberi kesan kepada pengeluaran hasil pertanian.
Sehubungan itu, kerajaan terus memantau kedudukan bekalan makanan bagi memastikan keperluan rakyat terjamin tanpa mencetuskan pembelian panik dalam kalangan pengguna.
Pengasingan AG dan Pendakwa Raya ambil masa setahun, perlu 148 undi MP
MMM mahu hak pekerja Utusan, Kosmo! dilindungi
KBS tak lulus HYROX KL jika tajaan arak tidak ditarik balik
Kes scam: Janji untung 50 peratus, pesara guru rugi RM521,787
Seludup rokok: Datuk antara tiga ditahan SPRM, rasuah polis RM1 juta
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum