Jerebu.
Fenomena Super El Nino yang diramal berlaku dari Oktober ini hingga Januari 2027 berpotensi memburukkan keadaan jerebu serta meningkatkan risiko kemarau di Malaysia susulan peningkatan suhu dan pengurangan taburan hujan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, berkata laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan fenomena itu berpotensi berterusan sehingga pertengahan 2027, dengan anomali suhu melebihi 2.0 darjah Celsius.
Menurutnya, keadaan cuaca ekstrem itu boleh memberi kesan besar terhadap taburan hujan dan suhu permukaan negara, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan air serta kebakaran hutan.
“Fenomena cuaca ekstrem ini membawa impak rantaian yang ketara kepada taburan hujan dan suhu permukaan negara,” katanya pada sidang media Libat Urus Berhubung Situasi Jerebu di sini, hari ini.
Arthur berkata, Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada penghujung Oktober 2026 turut dijangka merekodkan taburan hujan lebih rendah berbanding purata klimatologi, khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung, Perak dan Sabah.
Beliau berkata, pengalaman ketika fenomena Super El Nino pada 2015 hingga 2016 menunjukkan pengurangan hujan boleh mencapai sehingga 30 peratus di Semenanjung Malaysia dan 45 peratus di Sabah.
Keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko kemarau dan kebakaran kawasan hutan serta tanah gambut, yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan keadaan jerebu yang lebih serius.
Dalam perkembangan berkaitan, pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di 68 stesen kualiti udara bagi tempoh 3 Ogos hingga 16 Oktober 2026 mendapati 28.87 peratus kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Sebanyak 0.90 peratus kawasan pula merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat, manakala 0.36 peratus berada pada tahap berbahaya.
Arthur berkata, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi situasi jerebu, terutama sekiranya keadaan cuaca ekstrem berpanjangan.
Orang ramai disaran mengikuti perkembangan kualiti udara dan amaran cuaca rasmi serta mengurangkan aktiviti luar sekiranya bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat, khususnya bagi golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Fenomena El Nino berlaku apabila suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa meningkat melebihi purata. Fenomena ini boleh mengubah corak cuaca global, termasuk mengurangkan taburan hujan dan meningkatkan suhu di beberapa kawasan Asia Tenggara.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
TuJu akan ditambah baik, kerajaan ambil maklum aduan pengguna: Gobind
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum