Fahmi menyertai Ministerial Panel Forum Kepimpinan Digital sempena Mobile World Congress (MWC) Doha 2026, hari ini. - Foto kredit: Bernama
Malaysia berjaya mencapai sasaran liputan rangkaian 5G sebanyak 90 peratus pada Oktober lalu, sembilan bulan lebih awal daripada jadual ditetapkan, sekali gus mencerminkan kemajuan negara dalam memperkukuh infrastruktur telekomunikasi digital.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu turut menjadi perkembangan penting dalam pelaksanaan model dwirangkaian 5G negara yang bertujuan meningkatkan persaingan, menarik pelaburan serta memperbaiki kualiti perkhidmatan telekomunikasi.
Beliau berkongsi perkembangan itu ketika menyertai Ministerial Panel Forum Kepimpinan Digital sempena Mobile World Congress (MWC) Doha 2026, hari ini.
Menurut Fahmi, Malaysia turut melaksanakan pelaburan besar menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sejak 2020 bagi memperluas akses internet berkelajuan tinggi ke seluruh negara.
“Setakat Julai 2026, kira-kira 10.12 juta premis telah diliputi rangkaian gentian optik, sekali gus meningkatkan akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan ketara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan infrastruktur digital tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan keluasan liputan, sebaliknya perlu mengambil kira kualiti perkhidmatan, kemampuan pengguna melanggan serta ketahanan rangkaian.
Katanya, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus menggalakkan perkongsian infrastruktur dan penggunaan rangkaian secara lebih cekap bagi mengurangkan jurang kesalinghubungan, khususnya dalam komuniti yang masih kurang mendapat akses.
Fahmi turut menjelaskan kerangka Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) memainkan peranan penting dalam memastikan kawasan yang kurang mempunyai nilai komersial tetap mendapat kemudahan telekomunikasi.
Pendekatan itu membolehkan pembangunan infrastruktur digital dilaksanakan secara lebih seimbang tanpa bergantung sepenuhnya kepada pelaburan syarikat telekomunikasi.
“Bagi Malaysia, model rangkaian yang berjaya ialah model menggabungkan infrastruktur kukuh, pelaburan mampan, kawal selia berkesan serta akses yang bermakna kepada semua,” katanya.
Untuk rekod, pelaksanaan model dwirangkaian 5G merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh ekosistem telekomunikasi negara melalui persaingan dan penyertaan lebih luas pemain industri.
Fahmi berada di Doha bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU PP-26) yang berlangsung dari 6 hingga 11 November ini.
Lawatan kerja itu turut membawa misi penting Malaysia untuk mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU bagi penggal 2027 hingga 2030.
Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran serta wakil MCMC dan pemain industri tempatan termasuk Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile. – Bernama
Jangan abaikan madrasah dalam mengejar kemajuan negara: Anwar
SPR daftar hampir 42,000 pengundi baharu pada Oktober
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
Eksport Malaysia cecah RM1.81 trilion, rekod tertinggi sejak 1990
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan