Fahmi menyampaikan pendirian Malaysia pada sesi Meja Bulat Peringkat Menteri sempena Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha, Qatar.
Malaysia menggesa keselamatan siber dan perlindungan kanak-kanak dalam talian diberikan keutamaan dalam agenda digital global, seiring perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kemajuan teknologi perlu disertai langkah perlindungan yang berkesan bagi memastikan keselamatan pengguna serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap persekitaran digital.
Menurutnya, aspek kepercayaan dan keselamatan menjadi elemen penting bagi membolehkan rakyat menyertai serta menikmati manfaat ekonomi digital tanpa terdedah kepada ancaman siber.
“Deklarasi itu sewajarnya memberikan penekanan terhadap keselamatan siber, perlindungan kanak-kanak dalam talian selain memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi baharu yang bertanggungjawab.
“Bagi Malaysia, inovasi perlu bergerak seiring dengan langkah perlindungan. Ini akan memberikan keyakinan kepada orang ramai untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Meja Bulat Peringkat Menteri sempena Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) di sini, hari ini.
Fahmi berkata, Malaysia menyambut baik draf Deklarasi Menteri Doha yang menggariskan pendekatan menyeluruh dalam menangani peluang dan cabaran transformasi digital dunia.
Menurutnya, deklarasi itu selari dengan tiga keutamaan agenda digital negara, iaitu memastikan ketersambungan bermakna, memperluas keterangkuman digital serta mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.
Katanya, ketersambungan bermakna bukan sekadar menyediakan liputan rangkaian, sebaliknya turut memastikan perkhidmatan telekomunikasi mampu milik, boleh dipercayai dan berdaya tahan.
Malaysia juga menyokong pembangunan infrastruktur digital yang mampan bagi memastikan kesinambungan komunikasi penting ketika berlaku kecemasan atau gangguan perkhidmatan.
Dalam masa sama, Fahmi menegaskan transformasi digital perlu membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi geografi atau tahap kemahiran teknologi.
“Ketika AI dan teknologi baharu yang lain terus berkembang, kita perlu memastikan negara membangun dan komuniti yang kurang mendapat akses tidak keciciran.
“Mereka bukan sahaja perlu diberi peluang untuk menggunakan teknologi ini, malah berpeluang membentuk hala tuju pembangunan teknologi berkenaan dan menikmati manfaat daripada peluang yang ada,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pelaburan dalam kemahiran digital, pembangunan keupayaan serta sokongan terhadap inovasi bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada ekonomi digital.
Untuk rekod, ITU merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), termasuk penyelarasan spektrum frekuensi, piawaian telekomunikasi serta usaha memperluas akses digital di seluruh dunia.
Fahmi berkata, Malaysia berharap dapat terus bekerjasama dengan ITU dan negara anggota lain bagi membina masa depan digital yang lebih terhubung, inklusif dan selamat.
Jangan abaikan madrasah dalam mengejar kemajuan negara: Anwar
SPR daftar hampir 42,000 pengundi baharu pada Oktober
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
Eksport Malaysia cecah RM1.81 trilion, rekod tertinggi sejak 1990
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan