Insiden serangan di Kepong.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menegaskan tindakan ganas terhadap anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas tidak boleh diterima sama sekali, susulan insiden seorang anggota polis diserang lelaki warga asing di Kepong, malam tadi.
Beliau turut mengingatkan semua warga asing yang berada di negara ini supaya menghormati undang-undang Malaysia dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Saifuddin Nasution berkata sebarang rasa tidak puas hati terhadap tindakan penguatkuasaan tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan keganasan atau menghalang tugas anggota keselamatan.
“Perbuatan ganas seperti ini sama sekali tidak boleh diterima, apatah lagi terhadap anggota penguat kuasa yang sedang melaksanakan amanah menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, keselamatan rakyat serta anggota penguat kuasa merupakan keutamaan kerajaan yang tidak boleh dikompromi.
Beliau menegaskan undang-undang perlu dihormati dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa mengira kewarganegaraan atau latar belakang individu.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit.
Saifuddin Nasution turut mendoakan anggota polis yang cedera supaya segera pulih dan merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM yang terus menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata mangsa pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan.
Anggota polis itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Insiden berkenaan sekali lagi mencetuskan perhatian terhadap keselamatan anggota penguat kuasa ketika menjalankan operasi, khususnya apabila berdepan individu yang bertindak agresif sehingga mengancam nyawa.
Presiden Perancis tiba di Malaysia, perkukuh hubungan dua hala
Malaysia kekal kerusi Majlis ITU, raih 145 undi
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
Anwar ke Shenzhen, bakal temui Xi Jinping semasa APEC
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis