Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy yang dirawat susulan insiden ditetak warga asing.
Pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanan Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy yang terputus akibat diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang di Kepong, semalam, berjaya dilakukan selepas lapan jam.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kejayaan itu hasil kepakaran pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang melaksanakan prosedur mikrosurgeri kompleks bagi menyambung semula anggota badan berkenaan.
Beliau berkata, penghargaan khusus diberikan kepada pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain atas kejayaan melaksanakan pembedahan berkenaan.
“Prosedur lapan jam ini menuntut ketelitian tahap tinggi menggunakan mikroskop pembedahan.
“Dedikasi luar biasa dalam mengendalikan kes kecemasan mikrosurgeri yang sangat kompleks ini amat membanggakan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dzulkefly turut memuji kerjasama pasukan Neurosurgeri HKL yang merawat kecederaan di bahagian kepala dialami anggota polis terbabit.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan keupayaan perkhidmatan perubatan pelbagai disiplin di fasiliti kesihatan awam negara dalam mengendalikan kes kecemasan berisiko tinggi.
Beliau turut memberi jaminan Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan Thierry menerima rawatan rapi dan menyeluruh bagi membantu memulihkan fungsi tangannya pada tahap optimum.
“Kepada Lans Koperal Thierry, seluruh rakyat Malaysia terhutang budi atas keberanian dan pengorbanan saudara dalam mempertahankan keselamatan awam,” katanya.
Beliau turut mendoakan anggota polis berkenaan segera sembuh serta berharap keluarganya diberikan kekuatan menghadapi ujian itu.
Dalam kejadian semalam, Thierry cedera parah selepas diserang seorang lelaki warga asing menggunakan parang di sebuah premis kediaman sekitar Desa Aman Puri, Kepong, sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus.
Insiden itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengecam serangan berkenaan dan mahu tindakan tegas diambil terhadap pelaku tanpa mengira latar belakang mereka.
Anwar menegaskan keselamatan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas perlu dilindungi demi mempertahankan kedaulatan undang-undang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng turut mendoakan kesembuhan Thierry dan mengumumkan sumbangan RM5,000 sebagai tanda penghargaan serta sokongan kepada anggota polis berkenaan.
Presiden Perancis tiba di Malaysia, perkukuh hubungan dua hala
Malaysia kekal kerusi Majlis ITU, raih 145 undi
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
Anwar ke Shenzhen, bakal temui Xi Jinping semasa APEC
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis