AGC bantah usaha Badan Peguam cabar tahanan rumah Najib

November 12, 2026 · Isu semasa

Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly\@Arwi berkata, AGC mengambil pendirian keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipertikaikan itu berkait dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika mempengerusikan mesyuarat lembaga berkenaan.

“Sudah tentu, Peguam Negara membantah permohonan kebenaran ini kerana keputusan dipertikaikan itu berkaitan dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang tidak boleh diadili oleh mahkamah,” katanya ketika prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.

Beliau memaklumkan AGC memerlukan masa untuk meneliti permohonan berkenaan sebelum mengemukakan hujahan bertulis.

Sementara itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib turut memaklumkan pihaknya berhasrat mengemukakan hujahan bertulis kerana keputusan mahkamah berhubung permohonan itu berpotensi memberi kesan terhadap pelaksanaan tahanan rumah anak guamnya.

Peguam Zainur Zakaria yang mewakili Badan Peguam tidak membantah permohonan AGC dan pihak Najib untuk mendapatkan masa bagi menyediakan hujahan masing-masing.

Hakim Mahkamah Tinggi, S. Indra Nehru menetapkan 17 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan itu.

Mahkamah turut mengarahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya 14 Disember ini, manakala hujahan balas perlu dikemukakan sebelum atau pada 28 Disember.

Pada 10 November lalu, Badan Peguam Malaysia memfailkan tindakan undang-undang baharu bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International menerusi tahanan di rumah.

Dalam permohonan itu, Badan Peguam menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Penjara serta Najib sebagai responden.

Badan Peguam memohon mahkamah mengisytiharkan sebarang prosiding atau keputusan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah itu tidak sah di sisi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Antara hujah utama badan itu ialah tahanan rumah tidak termasuk dalam takrif pengampunan, penggantungan hukuman atau peremitan hukuman seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Badan Peguam turut mendakwa Lembaga Pengampunan gagal mempertimbangkan beberapa faktor penting, termasuk sabitan dan hukuman Najib dalam kes lain, kesan kewangan akibat jenayah yang dilakukan serta implikasinya terhadap keyakinan masyarakat terhadap usaha membanteras rasuah.

Selain itu, badan berkenaan memohon supaya pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguhkan sementara menunggu keputusan semakan kehakiman.

Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi pada 10 November lalu memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Berita berkaitan
Mahkamah tolak semakan kehakiman Mukhriz isu cukai RM5 juta LHDN
14 jam lalu· Isu semasa
MP Pasir Gudang disiasat berhubung sajak ‘Patik Tak Rela’ kritik isu Najib
14 jam lalu· Politik
Saifuddin: Semua banduan ada hak mohon pengampunan
November 14, 2026· Isu semasa
Pemimpin rasuah bukan wajar diagungkan: Anwar
November 14, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Presiden Perancis tiba di Malaysia, perkukuh hubungan dua hala
2 jam lalu · Isu semasa
Malaysia kekal kerusi Majlis ITU, raih 145 undi
8 jam lalu · Isu semasa
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
10 jam lalu · Isu semasa
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
11 jam lalu · Isu semasa
Anwar ke Shenzhen, bakal temui Xi Jinping semasa APEC
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
10 jam lalu
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis
November 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok