Amirudin Shari.
Penjawat awam di Selangor bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Kita Selangor 2026 sebanyak dua bulan gaji atau dua bulan elaun dengan bayaran minimum RM1,000.
Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 yang memperuntukkan sebanyak RM3.3 bilion bagi perbelanjaan negeri tahun depan.
Menurut Amirudin, bantuan berkenaan diberikan sebagai penghargaan kepada penjawat awam yang memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan negeri berjalan lancar, khususnya program membantu golongan memerlukan.
“Kerajaan Negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Kita Selangor bagi Tahun 2026 sebanyak dua bulan gaji atau dua bulan elaun dengan bayaran minimum RM1,000,” katanya.
Beliau berkata, penjawat awam negeri turut menjadi penggerak utama pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang memberi manfaat kepada golongan rentan, pelajar sekolah, wanita bekerja, petani dan pesawah.
Dalam perkembangan berkaitan, Belanjawan Selangor 2027 mencatatkan peruntukan tertinggi setakat ini sebanyak RM3.3 bilion, meningkat berbanding RM3.23 bilion pada tahun lalu.
Daripada jumlah itu, RM1.9 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pengurusan, manakala RM1.4 bilion bagi pembangunan negeri.
Amirudin berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha menangani risiko perubahan iklim, khususnya masalah banjir dan bekalan air melalui peruntukan RM1.778 bilion bagi projek mitigasi banjir, pembinaan serta penyelenggaraan loji rawatan dan penggantian paip lama.
Selain itu, sebanyak RM503.1 juta diperuntukkan untuk pembangunan prasarana awam.
Bagi memperluaskan akses teknologi digital, kerajaan negeri turut memperkenalkan inisiatif AI untuk rakyat dengan menyediakan akses platform Google Enterprise kepada 50,000 warga Selangor berserta modul latihan.
Kerajaan negeri juga akan mengagihkan 8,400 komputer riba kepada pelajar dan mahasiswa yang memerlukan, selain menawarkan pelbagai bantuan pendidikan termasuk baucar buku RM200 kepada 2,000 pelajar dan mahasiswa.
Dalam aspek kebajikan, program NutriSEL akan menyediakan sarapan atau makan tengah hari kepada 100,000 pelajar sekolah rendah dan menengah bagi menangani masalah kekurangan zat makanan serta obesiti.
Selangor turut memperkenalkan subsidi pengangkutan awam SEL30 sebanyak RM30 sebulan bagi menggalakkan penggunaan bas dan tren.
Dari sudut kedudukan kewangan, rizab negeri kini meningkat kepada RM5.1 bilion berbanding RM4.7 bilion tahun lalu, manakala kutipan hasil sehingga 11 November 2026 mencecah RM2.96 bilion.
Amirudin berharap pelaksanaan belanjawan itu dapat memastikan manfaat pembangunan negeri dinikmati seluruh lapisan masyarakat, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai negeri progresif.
Presiden Perancis tiba di Malaysia, perkukuh hubungan dua hala
Malaysia kekal kerusi Majlis ITU, raih 145 undi
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
Anwar ke Shenzhen, bakal temui Xi Jinping semasa APEC
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis