Mohamad Sabu.
Orang Melayu diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan slogan penyatuan Melayu yang digunakan pihak tertentu demi meraih sokongan politik dan mempertahankan kepentingan kelompok masing-masing.
Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu berkata, setiap seruan penyatuan bangsa perlu dinilai berdasarkan kejujuran perjuangan serta akhlak pemimpin yang membawanya, bukannya semata-mata menggunakan sentimen bangsa dan agama.
Beliau berkata, kebanggaan terhadap bangsa Melayu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempertahankan pemimpin yang terpalit dengan rasuah atau salah guna kuasa.
“Saya mengajak orang Melayu agar tidak terpedaya dengan slogan penyatuan Melayu yang palsu.
“Ukurlah setiap seruan itu pada kejujuran perjuangannya dan akhlak pemimpinnya,” katanya ketika menyampaikan pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah di Dewan Raja Muda Musa, hari ini.
Menurutnya, prinsip keadilan dan kebenaran perlu diutamakan tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang seseorang.
Mengambil pengajaran daripada kisah Rasulullah SAW, Mohamad menegaskan kebenaran mesti dipertahankan walaupun berdepan tekanan atau tidak disenangi pihak tertentu.
“Kita sebagai orang Melayu mesti tegas berprinsip, kebenaran tetap kebenaran walaupun ia pahit,” katanya.
Beliau turut mengkritik pihak yang menggunakan sentimen Melayu dan Islam untuk membangkitkan kebencian terhadap kaum lain, selain mencaci serta memfitnah pihak yang mempunyai pandangan berbeza.
Katanya, pendekatan sedemikian bukan mencerminkan penyatuan bangsa, sebaliknya hanya menjadi strategi politik untuk mendapatkan kuasa dan mengkayakan kelompok tertentu.
“Apakah ini penyatuan bangsa yang kita inginkan? Ini bukan penyatuan bangsa. Ini hanyalah jalan untuk memenangi sokongan bagi mendapatkan kuasa dan meneruskan agenda memperkayakan kelompok mereka dengan menyapu harta negara,” katanya.
Sebaliknya, Mohamad berkata, penyatuan Melayu yang sebenar perlu berasaskan usaha meningkatkan martabat bangsa, memperkukuh amanah serta membela kepentingan rakyat tanpa mengetepikan kaum lain.
Beliau menegaskan orang Melayu berhak mendapat kepimpinan yang jujur, cekap dan berani memikul tanggungjawab.
Menurutnya, kecintaan terhadap bangsa perlu diterjemahkan melalui pembangunan ilmu, pengukuhan ekonomi dan usaha memelihara maruah masyarakat.
“Maruah Melayu terangkat apabila pemimpinnya menolak rasuah, institusinya ditadbir dengan amanah dan rakyatnya mampu berdiri dengan bermaruah.
“Marilah kita satukan orang Melayu atas kebenaran dan keadilan, serta bersama seluruh rakyat membina Malaysia yang makmur dan dihormati,” katanya.
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Ismail Lasim dirawat di hospital, keadaan semakin pulih: Bernama
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
Konvensyen Amanah lulus usul bantah tahanan rumah Najib
PAS tidak berhasrat sertai PH untuk hadapi PRU-16: Idris Ahmad
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan