Jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan rekod baharu.
Eksport Malaysia mencatatkan pencapaian bersejarah apabila melonjak 37.1 peratus kepada RM1.811 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, sekali gus merekodkan pertumbuhan terpantas dalam tempoh 10 bulan pertama sejak 36 tahun lalu.
Prestasi memberangsangkan itu turut menyumbang kepada lebihan dagangan negara sebanyak RM274.81 bilion, paras tertinggi pernah dicatatkan berdasarkan perbandingan nilai tahunan sejak 1990.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata, pencapaian itu membuktikan daya tahan sektor perdagangan negara meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, gangguan rantaian bekalan dan pelbagai cabaran pasaran antarabangsa.
Pertumbuhan eksport terutama didorong sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang melonjak 53.9 peratus kepada RM891.99 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi global.
Eksport barangan bukan E&E turut menunjukkan prestasi kukuh apabila meningkat 24 peratus kepada RM919.17 bilion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM74.03 bilion.
MATRADE berkata, perkembangan itu mencerminkan keupayaan syarikat tempatan mengambil peluang daripada perubahan landskap ekonomi dunia, termasuk perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian eksport berkenaan menunjukkan pemain industri Malaysia semakin mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai global.
“Fokus utama kini adalah meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pasaran eksport antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, seramai 7,434 PKS yang menyertai program anjuran MATRADE berjaya menjana eksport bernilai RM63.60 bilion, selain mewujudkan lebih 383,000 peluang pekerjaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 7,211 PKS menyumbang RM57.29 bilion menerusi eksport barangan bukan E&E, melibatkan sektor makanan diproses, kimia, jentera, peralatan, produk logam dan barangan berasaskan minyak sawit.
MATRADE turut mempergiat program pembangunan kapasiti menerusi Akademi MATRADE serta penyertaan syarikat tempatan dalam pameran perdagangan antarabangsa bagi membantu PKS mendapatkan kontrak bernilai tinggi.
Dalam perkembangan lain, eksport Malaysia ke pasaran bukan tradisional seperti Afrika, Asia Tengah dan Amerika Latin meningkat 23.7 peratus kepada RM80.57 bilion bagi tempoh sama.
Antara negara yang mencatatkan pertumbuhan ketara ialah Namibia sebanyak 470.2 peratus, Libya (399.8 peratus), Tanzania (47.5 peratus), Brazil (40 peratus) dan Habsyah (36.4 peratus).
Bagi mengekalkan momentum itu, MATRADE sedang menyelaraskan inisiatif perdagangan menerusi Pelan Hala Tuju 2026, Belanjawan 2027 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Tumpuan turut diberikan kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk peningkatan kapasiti eksport serta pematuhan piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Langkah memperluas pasaran eksport ke negara membangun dilihat penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional, selain memastikan perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
Pua persoal Zahid, ungkit kegagalan GST era Najib
MINDEF tubuh jawatankuasa khas siasat skandal dadah TUDM
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan