Mohamad Fathi Zikri Mohd Zain
Mohamad Fathi Zikri Mohd Zain mempersoalkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berhubung cadangan penempatan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke Turkiye yang kemudiannya dinafikan pihak berkuasa negara itu.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hulu Langat itu berkata, percanggahan kenyataan antara Malaysia dan Turkiye menimbulkan persoalan mengenai ketelitian, penyelarasan serta kredibiliti komunikasi kepimpinan kerajaan, khususnya dalam perkara membabitkan hubungan diplomatik.
Menurutnya, Zahid perlu menjelaskan asas pengumuman itu dan sama ada persetujuan rasmi kerajaan Turkiye sudah diperoleh sebelum perkara berkenaan diumumkan kepada umum.
“Atas kapasiti apakah pengumuman sebesar ini dibuat? Adakah persetujuan rasmi kerajaan Turkiye benar-benar telah diperoleh dan adakah Kementerian Luar Negeri serta Wisma Putra terlibat dalam proses rundingan serta pengesahan?” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad Fathi turut mempersoalkan kedudukan Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan yang disifatkan perlu tampil memberikan penjelasan berhubung status komunikasi diplomatik antara Malaysia dan Turkiye.
Katanya, kementerian itu sepatutnya menjelaskan sama ada pengumuman berkenaan sudah melalui proses penyelarasan diplomatik serta tindakan yang diambil susulan penafian pihak berkuasa Turkiye.
“Apabila seorang Timbalan Perdana Menteri membuat pengumuman besar dan negara yang disebut kemudiannya mengeluarkan penafian, rakyat sewajarnya mengharapkan Menteri Luar Negeri tampil memberikan penjelasan yang tuntas,” katanya.
Beliau berkata, isu itu bukan sekadar melibatkan kenyataan politik individu, sebaliknya turut membawa implikasi terhadap imej dan maruah Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, hubungan baik Malaysia-Turkiye dibina melalui kepercayaan, persefahaman dan kerjasama strategik yang memerlukan ketelitian dalam setiap komunikasi rasmi.
Sehubungan itu, beliau bimbang percanggahan kenyataan berkenaan boleh menjejaskan usaha Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Mohamad Fathi menegaskan usaha menangani isu kemanusiaan pelarian Rohingya perlu disokong, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan prosedur diplomatik dan ketepatan fakta.
“Isu kemanusiaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan prosedur diplomatik, ketepatan fakta dan tanggungjawab institusi,” katanya.
Beliau turut menegaskan tindakan memadam hantaran media sosial berhubung pengumuman itu tidak memadai untuk menjawab persoalan yang timbul.
Katanya, Zahid dan Mohamad Hasan perlu memberikan penjelasan terbuka supaya rakyat mengetahui kedudukan sebenar cadangan berkenaan serta langkah kerajaan bagi mengelakkan isu itu menjejaskan hubungan Malaysia dengan Turkiye.
Eksport Malaysia cecah RM1.81 trilion, rekod tertinggi sejak 1990
Pua persoal Zahid, ungkit kegagalan GST era Najib
MINDEF tubuh jawatankuasa khas siasat skandal dadah TUDM
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan