Saarani: Belum ada keperluan bubar DUN Perak

November 23, 2026 · Politik

Kerajaan Negeri Perak belum mempunyai keperluan mendesak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal, meskipun timbul spekulasi pembubaran akan dilakukan selepas pembentangan Belanjawan Perak 2027 esok.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata, keputusan membubarkan DUN bukan terletak di bawah kuasa beliau secara bersendirian, sebaliknya memerlukan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, sebarang permohonan pembubaran perlu disertakan alasan yang munasabah dan kukuh selepas beliau menghadap Sultan Perak.

“Bukan Menteri Besar yang membubarkan DUN tetapi Tuanku. Untuk memastikan perkara itu berlaku, Menteri Besar perlu menghadap Tuanku terlebih dahulu dan memberikan alasan yang munasabah.

“Kalau setakat bajet sudah dibentangkan kemudian hendak bubar, itu tidak boleh. Mesti ada alasan yang konkrit,” katanya selepas menghadiri Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Kelapan di Stadium Indera Mulia, hari ini.

Saarani menjelaskan, antara keadaan yang boleh mendorong permohonan pembubaran DUN ialah sekiranya rakan strategik dalam Kerajaan Perpaduan, Pakatan Harapan (PH), menarik diri sehingga kerajaan negeri kehilangan sokongan majoriti.

Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir tetap menjadi prerogatif Sultan Perak.

Beliau turut menjelaskan spekulasi pembubaran DUN selepas pembentangan belanjawan negeri tidak berasas memandangkan tempoh pentadbiran kerajaan negeri masih panjang.

Katanya, keputusan mengadakan PRN lebih awal perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk kesiapsiagaan jentera pilihan raya, persiapan parti dan kemampuan kewangan.

Mengulas kemungkinan kemenangan UMNO di beberapa negeri baru-baru ini menjadi pemangkin kepada PRN Perak, Saarani berkata, momentum politik semata-mata bukan alasan mencukupi untuk membubarkan DUN.

“Kita tidak membubarkan DUN berdasarkan mood seperti itu. Banyak faktor lain perlu diambil kira. Mood satu perkara, persiapan pula perkara lain.

“Kita belum bersedia untuk pembubaran lagi. Jentera pusat daerah mengundi (PDM) belum bersedia dan kita juga tidak mempunyai peruntukan kewangan,” katanya.

Beliau turut menyatakan pendirian itu selari dengan kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan kemenangan parti itu di tiga negeri tidak bermakna Pahang dan Perak perlu mengadakan PRN lebih awal.

Dalam pada itu, Saarani menegaskan hubungan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH dalam Kerajaan Perpaduan Perak masih berjalan baik tanpa sebarang masalah yang menjejaskan pentadbiran negeri.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin atau maklumat tidak sahih, sebaliknya merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan perkembangan sebenar.

Berita berkaitan
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
4 jam lalu· Isu semasa
Pembubaran DUN bukan jaminan krisis Negeri Sembilan selesai: Laporan
5 jam lalu· Politik
Ismail Lasim dirawat di hospital, keadaan semakin pulih: Bernama
22 jam lalu· Politik
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
22 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Bekas pegawai khas Najib, aktivis UMNO diperintah bayar RM433,000 kepada pendakwah
November 23, 2026 · Politik
Johari tegur menteri gagal jawab soalan Ahli Parlimen
5 jam lalu · Politik
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
22 jam lalu · Politik
Konvensyen Amanah lulus usul bantah tahanan rumah Najib
22 jam lalu · Politik
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
November 22, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok