SPR daftar hampir 42,000 pengundi baharu pada Oktober

November 23, 2026 · Isu semasa

Seramai 41,958 rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu sepanjang Oktober lalu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR, Khairul Shahril Idrus berkata, jumlah itu direkodkan dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Oktober 2026 (DPT BLN10/2026) yang diwartakan pada 23 November dan dibuka untuk semakan selama 60 hari sehingga 21 Januari 2027.

Selain pendaftaran pemilih baharu, daftar berkenaan turut merekodkan 17,076 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya serta 4,109 pemilih yang membuat pertukaran kategori atau status pengundi.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Oktober hingga 31 Oktober 2026 serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN10/2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, individu yang mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam daftar berkenaan boleh mengemukakan tuntutan menggunakan Borang C menerusi aplikasi dalam talian MySPR atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkaitan.

Pada masa sama, pemilih berdaftar yang ingin membantah kemasukan nama pemilih yang bertukar ke bahagian pilihan raya mereka boleh mengemukakan bantahan menggunakan Borang D.

SPR menyediakan empat saluran untuk orang ramai membuat semakan, iaitu menerusi portal rasmi SPR di [www.spr.gov.my](http://www.spr.gov.my), portal mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi dalam talian MySPR di myspr.spr.gov.my serta aplikasi mudah alih MySPR Semak.

Semakan juga boleh dibuat menerusi talian hotline SPR di 03-8892 7218.

Borang tuntutan dan bantahan boleh dimuat turun melalui portal rasmi SPR sebelum dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkaitan.

Bagi urusan bantahan, pemohon perlu membuat serahan borang serta pembayaran fi yang ditetapkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan.

Pendaftaran pemilih secara automatik bagi rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dilaksanakan susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun serta memperkenalkan pendaftaran pemilih secara automatik.

Langkah itu bertujuan memperluas penyertaan rakyat dalam proses demokrasi dan memastikan lebih ramai golongan muda berpeluang menentukan kepimpinan negara melalui pilihan raya.

Berita berkaitan
Saarani: Belum ada keperluan bubar DUN Perak
2 jam lalu· Politik
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
23 jam lalu· Politik
PAS tidak berhasrat sertai PH untuk hadapi PRU-16: Idris Ahmad
November 21, 2026· Politik
Amanah buka pintu, Bersatu sedia teliti kerjasama baharu: Azmin
November 21, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
MySIREN lebih pantas daripada SMS, data pengguna kekal selamat: Fahmi
1 jam lalu · Isu semasa
MySIREN dilancar, amaran kecemasan terus ke telefon bimbit
2 jam lalu · Isu semasa
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
6 jam lalu · Isu semasa
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
6 jam lalu · Isu semasa
Eksport Malaysia cecah RM1.81 trilion, rekod tertinggi sejak 1990
6 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok