Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi

November 24, 2026 · Isu semasa

Pemergian Sasterawan Negara, A Samad Said, meninggalkan legasi besar dalam dunia kesusasteraan negara apabila karya dan pemikirannya terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata sepanjang hayatnya, Allahyarham yang mesra dikenali sebagai Pak Samad mengabdikan diri kepada bahasa dan sastera menerusi penulisan yang merakam denyut nadi kehidupan, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa.

Menurutnya, karya agung Allahyarham seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi kekal sebagai khazanah sastera negara yang akan terus dibaca serta dihayati generasi demi generasi.

“Sesungguhnya, jasad seorang sasterawan mungkin telah pergi namun suara, pemikiran dan perjuangannya tidak akan sama sekali terpadam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut menyifatkan karya Pak Samad dekat dengan kehidupan masyarakat kerana mampu menyampaikan perasaan dan pengalaman yang sukar diluahkan melalui kata-kata sendiri.

Beliau berkata, penulisan Allahyarham bukan sekadar karya sastera, sebaliknya mengajak masyarakat memahami kehidupan orang lain serta menyelami kesusahan yang dilalui.

“Melalui tulisannya, kita diajak memahami kehidupan orang lain dan menyelami kesusahan mereka,” katanya.

Fadhlina berharap karya serta pemikiran Allahyarham terus dibaca dan dihayati, khususnya oleh golongan muda kerana masih banyak pengajaran yang boleh diperoleh daripada hasil penulisannya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching turut merakamkan penghormatan kepada Allahyarham dengan memetik sebahagian puisi Hidup Bersama yang mencerminkan pemikiran dan perjuangan sasterawan berkenaan.

“Terima kasih kerana memberikan Malaysia hati nurani dan keindahan puisinya, Pak Samad. Kata-kata anda akan terus hidup buat selama-lamanya,” katanya.

A Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said, 91, menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur selepas dimasukkan ke wad akibat sakit tua. Allahyarham turut menghidap diabetes.

Dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, Allahyarham merupakan Sasterawan Negara keempat selepas menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985.

Sumbangannya dalam bidang kesusasteraan turut diiktiraf menerusi Anugerah Pejuang Sastera pada 1976 dan Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada 1979.

Pemergian Pak Samad bukan sekadar kehilangan seorang tokoh sastera, malah meninggalkan warisan pemikiran dan karya yang akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah serta identiti kesusasteraan Malaysia.

Berita berkaitan
MySIREN lebih pantas daripada SMS, data pengguna kekal selamat: Fahmi
November 23, 2026· Isu semasa
MySIREN dilancar, amaran kecemasan terus ke telefon bimbit
November 23, 2026· Isu semasa
Bina tabiat digital sihat, jangan biar anak leka gajet: Fahmi
November 20, 2026· Isu semasa
Fahmi saran pengusaha perniagaan kemuka isu kepada kerajaan: Bernama
November 19, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
November 24, 2026 · Isu semasa
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
November 24, 2026 · Isu semasa
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
8 jam lalu · Isu semasa
Wang peti besi RM325,000 lesap, pegawai bank didakwa seleweng
8 jam lalu · Isu semasa
Isu premis tutup solat Jumaat, Anwar tidak setuju kenyataan Ahli Parlimen
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok